1. RAPID Pengerang terbakar, 2 pekerja cedera
Dua warga tempatan mengalami kecederaan dalam insiden letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Johor awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua mangsa berkenaan ketika ini dirawat di Pusat Kecemasan Perubatan Rapid Pengerang sebagai pesakit luar.
“Pasukan Emergency Respon Team (ERT) Petronas Rapid Pengerang telah diaktifkan ke lokasi kejadian, melibatkan lima kenderaan Bomba dengan kekuatan 30 anggota dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 2.15 pagi tadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahsmon berkata siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian akan dilakukan bersama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (JAKSAS) Negeri Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan keselamatan Petronas Rapid Pengerang.
2. Kerajaan PH ibarat Pak Pandir: Hadi
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Kerajaan Pakatan Harapan diibaratkan seperti Pak Pandir apabila sering menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa cuba memperbaiki kelemahan sendiri.
Falsafah Pak Pandir yang diamalkan itu menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu mentadbir negara dengan baik.
“Apabila berbahas di Parlimen mereka salahkan kerajaan dulu, macam Pak Pandir. Tidak boleh politik Pak Pandir memerintah negara kita,” ketika berucap pada program ceramah perdana di Taman Angsamas malam tadi.
Katanya lagi, PRU14 dianggap sebagai pilihan raya main-main kerana ramai pengguna di media sosial percaya dengan janji-janji manis PH ketika itu.
“Pas yang memerintah Terengganu boleh hapuskan tol, ada caranya bukan boleh janji nak buat begitu. Tetapi (rakyat) pergi mengundi juga, menyebabkan Pakatan Harapan menang dan berlakunya kenaikan harga barang dan kehidupan yang susah,”.
3. Penyelewengan dalam FELDA rompakan secara terang: Abu Kassim
Penyelewengan yang didedahkan menerusi Kertas Putih FELDA yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam, sebagai satu ‘rompakan secara terang-terangan’.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, menasihati penjawat awam agar menjadikan kes FELDA yang dibentangkan itu sebagai iktibar dalam membuat keputusan.
Beliau berkata, adalah suatu perkara yang menyedihkan apabila melihat sebuah institusi yang gah seperti FELDA, kini terpaksa berdepan situasi yang didedahkan itu.
Abu Kassim menegaskan pihak berkuasa kini perlu mengambil tindakan terhadap perkara-perkara yang melanggar undang-undang seperti dibentangkan dalam Kertas Putih itu.
“Beliau menambah , lakukan apa sahaja yang perlu, jika ia dilihat melanggar undang-undang tetapi apa yang penting langkah pada masa hadapan ini, apa yang perlu dilaksana iaitu mengukuhkan FELDA.
4. Presiden Omar al-Bashir digulingkan tentera, Sudan isytihar darurat
Menteri Pertahanan Sudan mengumumkan, tentera sudah menggulingkan dan menahan Presiden Omar al-Bashir dan telah mengambil alih negara itu untuk dua tahun akan datang.
Ia susulan protes selama empat bulan terhadap pemerintahannya.
Perkara berkenaan diumumkan Awad Mohammed Ibn Ouf menerusi siaran televisyen.
Awad Mohammed turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan satu pilihan raya dalam tempoh dua tahun.
Sepanjang tempoh itu Sudan akan dipimpin Majlis tentera.
Tambahnya darurat kini diisytihar untuk tempoh tiga bulan akan datang.
Pihak tentera juga telah menggantung perlembagaan, dan menutup pintu sempadan dan ruang udara negara berkenaan.
5. ‘Manusia Kalkulator’ naib juara di Asia’s Got Talent 3
Peserta dari Malaysia Yaashwin Sarawanan melakar sejarah apabila Berjaya menduduki tempat kedua Asia’s Got Talent musim ketiga (AGT3)
Yaashwin, 15 yang popular dengan gekaran “Manusia Kalkulator” tumpas kepada peserta dari Taiwan iaitu Eric Chien yang mahir dengan silap mata.
Kemenangan itu diumumkan secara langsung pada pukul 10.30 di Marina Bay Sand, Singapura, malam tadi.
Sementara itu, kumpulan Nama yang turut mewakili Malaysia gagal mara ke peringkat seterusnya apabila diumum tersingkir pada awal rancangan.
Eric membawa pulang wang tunai berjumlah RM408,000 serta penerbangan percuma selama setahun tajaan syarikat penerbangan VietJet.