- Polis tangkap 4 remaja kes pijak al Quran
Polis menahan empat remaja perempuan berhubung siasatan salah seorang daripada mereka memijak al-Quran, yang tular.
Keempat-empat suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di sekitar daerah Kusial, Tanah Merah sejak 2 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Azmi Abu Kassim dilapor sebagai berkata, penahanan itu susulan laporan kakak salah seorang suspek yang melihat video tersebut, membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Menerusi rakaman tular itu, seorang remaja perempuan bertudung dilihat memijak senaskah al-Quran dan mengaku berzina.
2. Kami sokong penuh kepimpinan Anwar
Enam Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), hari ini tampil memberi sokongan penuh kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR hari ini, Pengerusi MPN Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, mereka berdiri teguh di belakang Anwar dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan, yang boleh melemahkan parti.
Dalam masa sama, mereka juga menagih komitmen Anwar dan pimpinan pusat untuk mengutamakan hal-hal melibatkan kebajikan rakyat dan negeri termasuk janji-janji Manifesto Pakatan Harapan, terutamanya pemerintahan mereka menghampiri tahun kedua sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Enam pengerusi MPN yang menandatangani memorandum itu selain Johari ialah Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).
3. Dalang video intim perlu dikenakan tindakan tegas
Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari menegaskan tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini.
Beliau berkata demikian, susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa, wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video intim yang didakwa berkaitan seorang menteri.
Amirudin berkata, dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.
Semalam, Abdul Hamid dilaporkan berkata, hasil siasatan polis terhadap kes video intim berkenaan mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.
4. Bukan menyembah bulan, tetapi ikut sunnah Nabi: Mufti Perlis
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Perlis menganjurkan solat sunat gerhana bulan pada Rabu lepas untuk menyembah bulan.
Beliau berkata, solat sunat gerhana bulan itu bukan bermakna menyembah bulan, tetapi melakukan seperti apa yang pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW sebagai mengagumi kekuasaan ALLAH SWT.
Tambah beliau, kalau tidak tahu sesuatu, lebih baik diam, daripada membuat tuduhan tidak menentu, sedangkan solat sunat yang dibuat semasa berlaku gerhana bulan pada pukul 4.01 pagi 17 Julai lalu, adalah untuk mengajak rakyat Perlis beramai-ramai solat sunat gerhana,” katanya dalam kuliah mingguan beliau di Masjid Alwi Kangar, malam semalam.
Perlis menganjurkan solat itu secara serentak di 15 masjid di seluruh negeri, diikuti bacaan khutbah khas mengenai gerhana bulan oleh imam-imam jemputan.
5.Gajah dibunuh, belalai, gading dipotong dengan bangkai terbiar
Sekeping gambar yang dirakam dari udara menunjukkan aktiviti pemburuan kejam terhadap seekor gajah Afrika yang terbaring di atas tanah, dengan beberapa bahagian badanya telah dipotong.
Menurut laporan Mstar Online, Sebahagian kepala dan gading gajah malang yang di potong masih boleh di lihat, menerusi rakaman yang dibuat oleh sebuah kamera dron di udara.
Lokasi kejadian di Afrika Selatan itu terletak kira-kira 20 minit dari sebuah perkhemahan yang berdekatan.
Aktiviti pemburuan di Botswana, Afrika Selatan semakin berleluasa dengan anggaran 593 peratus bangkai meningkat di bahagian utara Negara itu, dari 2014 sehingga 2018