PH biar DAP corak Yadim: Pas
Pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai ahli lembaga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperlihatkan PH akan membiarkan yayasan tersebut dicorakkan oleh DAP.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan berkata, penstrukturan baharu itu juga akan mambawa badan amanah itu menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.
Kata beliau, Pas meragui tujuan penubuhan Yadim untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO berteraskan Islam akan dapat dicapai, sebaliknya Yadim akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa pelantikan Sheikh Omar sesuai kerana beliau memiliki ijazah dalam bidang Usuluddin.
Najib rancang pamer Kiswah pemberian raja Arab Saudi
Datuk Seri Najib Tun Razak merancang mempamerkannya Kiswah yang digunakan untuk menutupi Kaabah di galeri atau muzium di negara ini.
Ia merupakan pemberian Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud kepada bekas Perdana Menteri itu pada 2010 berikutan hubungan akrab antara kedua-dua pemimpin tersebut.
Kata beliau, kain Kiswah yang baginda hadiahkan kepadanya amat besar dan seberat 170 kilogram dan merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.
Kata Najib, kain kiswah itu bernilai sekurang-kurangnya RM82 juta.
Pas lebih diyakini bela Melayu daripada Umno, PKR, Bersatu
Pas lebih dilihat sebagai pelindung berhubung isu-isu melibatkan Melayu dan Islam, meninggalkan Umno di tempat kedua, menurut tinjauan Ilham Centre.
Pengarah eksekutifnya berkata hampir 30 peratus orang responden Melayu memilih PAS sebagai pelindung dalam isu-isu etnik itu berbanding Umno (27 peratus), lapor Malaysiakini.
Mohd Yusri Ibrahim dalam pembentangannya malam semalam berkata PKR pula di tempat ketiga dengan 17 peratus dan diikuti oleh Bersatu (4 peratus) dan Amanah (3 peratus).
Tinjauan mengenai sentimen Melayu itu melibatkan 2,614 respoden etnik tersebut di seluruh negara yang dijalankan antara 1 Oktober hingga 24 Disember tahun lepas.
Terengganu mahu tubuh jawatankuasa khas bincang projek ECRL
Kerajaan Terengganu mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas yang turut dianggotai wakil negeri ditubuhkan bagi mendapatkan keputusan terbaik berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu bagi membolehkan semua kaedah penyelesaian dapat dicapai, sekali gus mengelak pelbagai pertentangan maklumat di peringkat pusat.
Katanya perbincangan secara bersama dengan wakil Terengganu, Kelantan dan Pahang amat penting apatah lagi mereka adalah pemegang taruh yang berkepentingan.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan akhir mengenai projek ECRL belum dibuat dan berada dalam status ‘masih berunding.’
3 wanita Indonesia tawar khidmat seks dihukum penjara, denda
Tiga wanita warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan dua minggu lalu.
Dua daripada mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala seorang lagi didenda RM2,300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan di kampung halaman.