1. Perbicaraan SRC Najib bermula Selasa, pendakwaan bersedia dengan sembilan saksi
Tuduhan di mahkamah terhadap Najib, 66, Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei 2018, menarik perhatian seluruh dunia setelah kesnya digambarkan sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk” dan tuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mendapat perhatian dari masyarakat umum dan antarabangsa, menyebabkan pelbagai spekulasi dengan kes berkenaan.
Sehingga Jumaat, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah.
2. Motosikal berkuasa tinggi bukan milik saya: Khalil
Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menafikan mempunyai motosikal berkuasa tinggi seperti tersebar di laman social.
Memetik laporan The Star, beliau menjelaskan gambar ketika berada di atas motosikal jenis BMW R1200RT hanya untuk kempen kesedaran pengguna jalan raya sempena sambutan Hari Raya pada 2017.
Beliau turut menafikan dakwaan mengatakan kepimpinan tertinggi Pas mengumpul kekayaan hasil dari sumber dana yang disalurkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tidak terlepas dari dakwaan tersebut, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin turut dikatakan memiliki sebuah kereta mewah jenis Porsche Cayman. Namun beliau menjelaskan kereta tersebut dibeli oleh anaknya beberapa tahun lalu menggunakan Permit Import (AP) yang dimiliki atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Arau sebelum ini bagi tujuan perniagaan kereta terpakai.
3. PH Selangor utuh, dorong menang PRK Semenyih: Amirudin
Keutuhan Pakatan Harapan (PH) di Selangor memberi semangat positif untuk parti itu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, lantikan jentera parti yang kuat juga mendorong kemenangan di kawasan itu.
Ditanya mengenai kerjasama PAS dan UMNO di PRK Semenyih, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, strategi kerjasama itu telah berlaku sejak PRK DUN Sungai Kandis meskipun tidak secara rasmi.
PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
4. Boleh tanam pokok ganja kalau dapat kebenaran
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan ruang bagi penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
Katanya, Kisah kejayaan tiga rakyat Malaysia yang berjaya menghasilkan Minyak CBD (Cannabidiol) daripada Cannabis Sativa dan menetap di United Kingdom itu mendapat perhatian media tempatan pada Jun tahun lalu.
Syarikat itu diasaskan sepasang suami isteri, Abdul Halim Pauzi dan Nurul Ain Sahbudin, serta rakan mereka, Mohd Roslan Abdullah yang sudah 15 tahun menetap di negara berkenaan bukan sahaja melakukan kajian mengenai keberkesanan minyak ganja dalam perubatan, bahkan turut memperoleh lesen bagi memasarkan produk dihasilkan di 50 negara lain di Kesatuan Eropah.
Zulkifli berkata, sekiranya pokok ganja itu mampu memberikan kemujaraban daripada aspek perubatan, pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu dan penanaman pokok ganja itu dijalankan dengan betul serta mengikut peruntukan undang-undang.
5. Tugu Beckham bakal berdiri megah di stadium LA Galaxy
David Beckham satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sekadar mendapat perhatian ketika beraksi di atas padang, malah kehidupan peribadi jejaka berusia 43 tahun ini sentiasa jadi perhatian media dan peminat.
Bekas kapten skuad England ini mencipta impak besar dalam kancah bola sepak Amerika Syarikat.
Keputusan luar jangkanya menyertai LA Galaxy pada 2007 berjaya meningkatkan status Liga Bola Sepak Major (MLS).
Sebagai penghargaan, Beckham menerima pengiktirafan tertinggi daripada LA Galaxy dengan pembinaan tugu khas yang bakal berdiri megah di luar stadium kelab bola sepak itu.
Pengiktirafan ini menjadikan bekas bintang tengah Manchester United dan Real Madrid ini, sebagai pemain pertama menerima pengiktirafan seumpama itu dalam sejarah MLS.