Bermula esok, Selasa, seperti yang ditetapkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi dijangka memulakan pendengaran kes yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri Malaysia pertama yang berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan rasuah.
Tuduhan di mahkamah terhadap Najib, Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei 2018, menarik perhatian seluruh dunia selepas kesnya digambarkan sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk” dan tuduhan berkaitan dengan 1MDB, yang mendapat perhatian hangat dari masyarakat umum dan antarabangsa, menyebabkan pelbagai spekulasi dan ada yang terpaku oleh kes itu.
Najib, yang juga bekas Presiden Umno, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Walaupun terdapat percubaan oleh pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah supaya perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan Najib terhadap sijil pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, Peguam Negara Tommy Thomas pada 7 Februari memberitahu hakim bahawa pendakwaan sudah bersedia untuk memulakan kes pendakwaan pada 12 Februari.
Pihak pendakwaan siap dengan sembilan saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan itu dan antara mereka ialah pegawai kerajaan.