Saiz penjawat awam perlu dikurangkan: Mahathir
Tun Dr. Mahathir berpendapat jumlah penjawat awam yang dimiliki kerajaan ketika ini adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.
Perdana Menteri memberitahu jumlah terkini penjawat awam adalah seramai 1.7 juta orang dan telah meningkat dengan mendadak sejak beliau meninggalkan pentadbiran negara pada tahun 2003.
Kata beliau, semasa beliau meletak jawatan jumlah anggota pentadbiran hanya satu juta sahaja dan sekarang sudah meningkat kepada 1.7 juta, bermakna peningkatan sebanyak 700,000 orang.
Sehubungan itu katanya, dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya kerajaan boleh mengurangkan saiz ini.
Deposit Pas PRU14 dibiayai Umno?
Deposit untuk PAS bertanding dengan rekod jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum ke-14 dibiayai oleh Umno, dakwa Sarawak Report.
Portal pendedah maklumat itu melaporkan seorang pembantu bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak telah memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam akaun Bank Islam milik Pas, lapor Malaysiakini.
Sarawak Report berkata bukti-bukti berkenaan sepatutnya dikemukakan ke mahkamah London sebagai sebahagian daripada pembelaan editor Clare Rewcastle-Brown terhadap saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Walau bagaimanapun, Pas telah menarik balik saman tersebut atas alasan kosnya adalah terlalu mahal.
Abdul Hadi menyaman Rewcastle-Brown susulan dakwaannya bahawa Umno menyalurkan sejumlah RM90 juta kepada PAS dalam usaha untuk “melamar” parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14.
Bekas-bekas pemimpin UMNO akan sertai Bersatu di Sabah
Seramai 14 bekas pemimpin kanan UMNO di Sabah yang bertindak keluar parti pada Disember tahun lalu akan menyertai Bersatu di negeri itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, kesemua bekas pemimpin UMNO itu akan menyerahkan borang keahlian masing-masing kepada Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pendaftaran cawangan dan bahagian parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Katanya, pihak parti mendapat banyak permohonan daripada beberapa bekas Ahli Parlimen, bekas ADUN, bekas senator dan bekas ketua bahagian UMNO untuk menyertai Bersatu di Sabah.
Sehubungan itu katanya, parti tiada kompromi untuk menerima bekas-bekas pemimpin UMNO ini kerana jawatankuasa tapisan parti akan memastikan mereka bebas daripada kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan sebagainya.
Program Sembang Santai Bossku di UKM tangguh bukan batal
Program Sembang Santai Bossku bersama Datuk Seri Najib Razak dijadualkan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), esok (22 Februari) ditangguhkan.
Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, keputusan itu dicapai oleh universiti kerana program itu adalah anjuran daripada pelajar.
Tambah beliau, sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Roslee Rajikan dalam masa terdekat.
Bekas perdana menteri itu, yang terkenal dengan slogan ‘malu apa bossku’, dijadual berucap di aras lima bangunan Pusanika kampus tersebut jam 3.30 petang Jumaat ini.
Kereta api bawa 50 penumpang terbakar di KTMB Renggam
Enjin lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa penumpang dari Tampin, Negeri Sembilan ke Johor Bahru terbakar di Stesen KTMB Renggam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.46 malam itu, kereta api empat gerabak yang membawa 50 penumpang dan empat krew tersebut terbakar dan musnah di bahagian kepala termasuk enjin.
Siasatan awal mendapati, kereta api itu bertolak dari Tampin jam 2.50 petang semalam dan difahamkan bahagian enjinnya terbakar di landasan kereta api di Kilometer 686 berhampiran Kampung Cina Sungai Sayong.
Bagaimanapun selepas api berjaya dipadamkan, pemandu kereta api yang berumur 59 tahun meneruskan perjalanan dan berhenti di Stesen KTMB Renggam sebelum bahagian enjin kereta api tersebut terbakar semula dan Balai Bomba Renggam dimaklumkan berhubung kejadian itu.