Pengurus BNM nafi beri maklumat palsu kes Najib
Pengurus jabatan di Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar hari ini menafikan menerima taklimat daripada pihak tertentu supaya memberikan keterangan tidak benar dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Azizul Adzani, pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan juga menafikan cadangan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib bahawa beliau menyembunyikan sesuatu berhubung kes itu.
Semasa dirujuk laporan polis yang dibuatnya selepas serbuan dilakukan di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, saksi pendakwaan kedua itu berkata beliau juga mengetahui beliau mesti membuat laporan polis yang tepat.
Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Mahkamah tetap 15 hari bicara kes pecah amanah bekas ketua perisik
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 15 hari bermula 3 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.
Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam, iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lalu di pejabat ketua pengarah Bahagian Penyelidikan JPM di Kompleks JPM.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
24 anggota JPJ direman bantu siasatan kes ‘lori kebal’
Seramai 30 lelaki termasuk 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman tujuh hari sehingga 23 April ini di Kompleks Pulau Pinang jam 10.40 pagi, hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Nor Fadrina Zulkhairi bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu ‘lori kebal’ yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.
Semalam, SPRM menahan 33 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ kerana melindungi sindiket ‘lori kebal’ sebelum tiga wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.
Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit ialah orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.
Semua pegawai penguat kuasa JPJ Pulau Pinang daripada gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.
Pas tak tanding PRK Sandakan
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat keputusan tidak meletakkan calon pada PRK Palimen Sandakan, Sabah yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun tidak bertanding, parti itu akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon bagi menentang PH.
Katanya, Pas mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang, lebih-lebih lagi kerusi Parlimen tersebut pernah dimenangi BN suatu ketika dahulu.
“Kemenangan calon pembangkang nanti sudah pasti akan menjadikan proses semak dan imbang dalam Parlimen lebih efektif demi kebaikan negara dan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Pengerusi DAP negeri dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Perak teruskan rebat elektrik, air percuma
Bantuan rebat bil elektrik dan pemberian air percuma antara program kerajaan negeri secara bersasar yang dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup khusus kepada keluarga miskin dan miskin tegar.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembiayaan bil elektrik sehingga RM40 merupakan program baharu diperkenalkan bagi menggantikan program rebat bil elektrik RM20 yang dilaksanakan pada 2008 lalu.
Beliau berkata, bagi pemberian air percuma pula, kerajaan negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) telah meluluskan pemberian air percuma 25 meter padu seperti pada 18 Mac 2019 dengan anggaran penerima manfaat seramai 50,700 orang.
Pemberian rebat bil elektrik dan air percuma merupakan program yang pernah diperkenalkan kerajaan terdahulu.