1.Pengarah urusan tak tahu luluskan RM42 juta ke akaun Najib
Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata beliau akan menghubungi Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya tahu bahawa kedua-dua akaun yang beliau luluskan untuk kemasukan RM42 juta itu milik bekas perdana menteri berkenaan.
Saksi ke-37 itu memberitahu peguam bela Harvinderjit Singh ini semasa pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu dalam prosiding itu, Shamsul mendakwa beliau mempunyai hubungan komunikasi terus dengan Najib pada masa itu yang membolehkan beliau menghubungi Najib secara langsung mengenai apa-apa isu.
Dalam keterangannya Shamsul berkata, sebelum itu beliau cuba menyelidiki siapa pemilik dua akaun bank berkenaan tetapi ditolak oleh AmBank.
2.Pemuda UMNO Johor kecam Akmal anjur majlis berbuka puasa di kuil
Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru mengecam penganjuran Majlis Iftar Muhibbah Bersama Parlimen Johor Bahru yang dianjurkan di Gurdwara Sahib,bakal diadakan hari ini.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihaknya juga mengecam tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang disifatkan tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.
Mohd Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor turut mempersoalkan kewajaran umat Islam dibawa untuk berbuka puasa di lokasi terbabit ketika Ramadan yang dianggap sebagai bulan suci dan mulia.
Bagaimana pun, selepas mendapat kritikan, Akmal Nasrullah kemudian memuat naik kenyataan di facebooknya bahawa beliau sudah pun bertanyakan hal tersebut kepada pihak yang lebih arif, dan katanya tidak salah berbuka puasa di kuil tersebut kerana turut disediakan bilik khas untuk solat maghrib.
3.Sejarawan negara Khoo Kay Kim meninggal dunia
Tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.
Kay Kim yang berusia 82 tahun meninggal dunia pada pukul 10.13 pagihari ini.
Anak kedua mendiang, Rubin Khoo, 47, berkata, ayahnya pernah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.
Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.
4.TNB minta pelanggan terkesan ke Kedai Tenaga
Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini berkata pihaknya mengambil maklum terhadap rungutan dan aduan pelanggan berhubung bil elektrik yang tinggi.
TNB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya juga telah menerima dan melayani aduan mengenai perkara itu yang dikemukakan terus di Kedai Tenaga.
Bagaimanapun, tiada penjelasan umum dapat diberikan kepada rungutan tersebut kerana setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu dan ia berbeza antara satu sama lain.
“Oleh itu, TNB memohon kerjasama pengguna yang terlibat untuk berurusan terus dengan Kedai Tenaga yang berdekatan kerana data pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga,” demikian menurut kenyataan itu.
Pengguna juga dinasihatkan untuk membawa bil masing-masing bagi memudahkan urusan semakan.
5.FAM perkenal promosi ‘Beli 1 Percuma 1’ tiket
Bersempena perlawanan timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini yang jatuh pada Hari Raya Ketiga dan Hari Raya Ketujuh, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbesar hati untuk memberikan tawaran promosi ‘Beli 1 Percuma 1’ bagi tiket kedua-dua saingan tersebut.
Ia sebagai hadiah Hari Raya Aidilfitri daripada FAM kepada kalangan penyokong setia Harimau Malaya yang akan meluangkan masa turun ke stadium bagi memberikan sokongan padu buat para pemain kebangsaan biarpun ketika itu nanti masih dalam ‘mood’ berhari raya bersama keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.
Harga tiket yang ditetapkan bagi setiap perlawanan di atas ini adalah sama seperti perlawanan-perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia sebelum ini iaitu RM30 bagi tempat duduk terbuka, RM50 bagi tempat duduk grandstand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun.
Pembelian tiket secara online di www.tickethotline.com.my akan bermula pada hari ini (Selasa, 28 Mei 2019) manakala pembelian di kaunter tiket stadium adalah pada hari perlawanan iaitu pada 7 dan 11 Jun.