Pendakwaan kes buang sisa kimia Sungai Kim Kim ditangguh
Pendakwaan ke atas seorang pengusaha kilang tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa kimia ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, belum dapat dilakukan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan belum dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melengkapkan kertas siasatan.
Katanya, kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan pihak JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian itu diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 5 tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika disabit kesalahan.
Dr Mahathir ucap tahniah atas pencapaian cemerlang SPM 2018
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang semua calon yang memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, hari ini.
Tahniah kepada semua pelajar yang mendapat keputusan baik dalam peperiksaan SPM. Walau apapun keputusan yang diterima ingatlah, perjuangan ini masih belum selesai.
Teruskan usaha demi kejayaan di masa hadapan,” kata Dr Mahathir melalui catatan di laman Twitter rasmi beliau.
Terdahulu di Putrajaya, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin mengumumkan keputusan keseluruhan calon SPM 2018 adalah lebih baik daripada pencapaian tahun 2017.
Perintah berkurung remaja belum sesuai: TPM
Larangan keluar malam atau perintah berkurung bagi kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun pada waktu malam masih belum sesuai dilaksanakan buat masa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara faktornya ialah ibu bapa tiada di rumah kerana melaksanakan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung kos sara hidup, sekali gus dilihat sukar untuk menyelia atau memantau anak masing-masing.
Katanya, selain itu terdapat keperluan kanak-kanak berada di luar rumah seperti ke pusat tuisyen, aktiviti sukan dan agama di surau.
Tambahnya, terdapat juga kanak-kanak bekerja bagi membantu menyara keluarga seperti yang dibenarkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) bagi kanak-kanak berumur 15 tahun ke atas kerana pendidikan sekunder belum diwajibkan.
Puspakom Wangsa Maju, Johor Bahru operasi tujuh hari seminggu mula esok
Bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pelanggannya, cawangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Wangsa Maju dan Johor Bahru akan menjalankan operasi selama tujuh hari seminggu bermula 15 Mac (esok).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shukor Ismail berkata, Puspakom sentiasa mengambil berat tentang keperluan semua pihak dan penambahbaikan itu dilaksanakan selaras dengan kehendak pelanggan di dua cawangan terlibat.
Beliau berkata, langkah ini juga merupakan antara inisiatif yang diambil Puspakom dalam memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.
Katanya, dua cawangan ini akan menjalankan operasi selama tujuh hari seminggu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Robert Kuok kekal terkaya di Malaysia
Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukan nombor satu dalam senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 dengan nilai bersih AS$12.8 bilion Dolar Amerika Syarikat walaupun kekayaannya merosot AS$2 bilion Dolar Amerika Syarikat, menurut Forbes Asia.
Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini menyebut 30 hartawan Malaysia menyaksikan kekayaan mereka merosot manakala 11 lagi menikmati peningkatan.
Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong (Malaysia) menambah kekayaan AS$2.2 bilion Dolar Amerika Syarikat dan kekal pada kedudukan nombor dua dengan nilai bersih AS$9.4 Bilion Dolar Amerika Syarikat.
Lima hartawan teratas dalam senarai itu ialah Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank memperoleh AS$700 juta Dolar Amerika Syarikat di tempat ketiga, Tan Sri Ananda Krishnan di tempat keempat dengan AS$6.2 bilion Dolar Amerika Syarikat dan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation dan IOI Properties menduduki tempat kelima.