Pencemaran Sungai Kim Kim: Sultan Johor sumbang RM1 juta
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat dan mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.
Dalam entri terbaharu di laman sesawang Royal Johor, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.
Titahnya, Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengannya sebagai Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar dan orang awam.
Semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup
Semua 111 sekolah di Pasir Gudang, Johor diarah tutup berkuatkuasa serta-merta hari ini ekoran pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim.
Semua sekolah berkenaan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan semua kakitangan tidak perlu hadir sehingga situasi kembali pulih.
Kementerian Pendidikan memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” kata Menteri Maszlee Malik dalam kenyataan malam tadi.
Media melaporkan seramai 506 orang sedang dirawat, dengan 9 daripadanya di unit rawatan rapi.
La… ingatkan kereta YB Kepong, rupanya bekas YB BN
Tular beberapa keping foto sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) parkir di tepi jalan berdekatan pejabat Ahli Parlimen Kepong yang menyalahi undang-undang hingga mengundang kecaman netizen.
SUV itu parkir bersebelahan papan tanda kenderaan dilarang masuk dan jalan itu juga adalah jalan sehala.
Kereta yang didakwa milik Ahli Parlimen Kepong tular dan seorang pengguna Facebook juga dilihat mengecam tindakan beliau.
Namun, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasminya menyangkal dakwaan itu.
Beliau menyatakan, kereta itu bukan miliknya walaupun ia adalah model dan warna seperti mana keretanya, tetapi ianya adalah milik bekas YB BN.
Lelaki lemas selepas ritual keagamaan
Seorang lelaki ditemukan lemas di air terjun Lata Tembakah di sini, selepas melakukan ritual keagamaan bersama enam rakannya semalam.
Chua Kim See, 46, dijumpai di celah batu oleh orang awam yang berada di tempat kejadian yang cuba menyelamatkannya dengan melakukan bantuan pernafasan CPR.
Bagaimanapun dia tidak dapat diselamatkan, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 4.45 petang, lelaki yang berasal dari Tanah Merah itu dikatakan naik ke tingkat tiga air terjun bersama rakan-rakannya untuk melakukan sembahyang di atas batu sambil menutup mata.
208 atlet dapat kenaikan elaun
Seramai 208 atlet bakal menikmati kenaikan kadar elaun berdasarkan penyelarasan semula Skim Elaun Latihan di bawah program latihan atlet kebangsaan yang baharu.
Di bawah skim elaun latihan itu juga, seramai 242 atlet akan menerima kadar elaun yang sama, 188 atlet akan menerima kadar elaun asas atlet dan tujuh atlet akan menghadapi penurunan kadar elaun atas sebab pertukaran status atlet dari sepenuh masa kepada separuh masa dan diberi peluang kedua untuk meningkatkan prestasi.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata skim Elaun Latihan yang baharu ini bertujuan untuk memastikan atlet sentiasa berada pada tahap pretasi yang terbaik dengan penilaian akan dibuat setiap enam bulan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian.
Berdasarkan skim elaun latihan atlet kebangsaan yang baharu, pemenang pingat di temasya Sukan Olimpik/Paralimpik akan menerima RM7,500, diikuti atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia/Para Asia yang menerima RM6,000 manakala pemenang pingat di Kejohanan Dunia atau Sukan Komanwel akan menerima RM3,500.