Pembatalan ECRL: Tunggu apa kata Guan Eng
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta semua pihak bersabar dan menunggu Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat pengumuman berhubung dakwaan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
Mengulas mengenai penyebaran surat pembatalan ECRL, beliau menafikan surat berkenaan daripada kerajaan.
Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL yang diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC). Pembatalan itu dibuat kerana kerajaan tidak mampu menanggung kadar faedah projek hampir RM500 juta setahun.
Najib sindir kerajaan PH berhenti kelirukan rakyat
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerajaan Pakatan Harapan supaya berhenti mengelirukan rakyat mengenai pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, semua menteri PH termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta tidak lagi menafikan perkara tersebut ekoran sepucuk surat pembatalan kontrak tersebut tular di laman sosial.
Najib secara sinis menyindir kerajaan dengan mengatakan penafian menteri Pakatan Harapan bukan melibatkan projek ECRL Malaysia tetapi ECRL Hong Kong.
Umno nafi 5,000 ahlinya sertai Warisan
Umno Kinabatangan menolak laporan mengatakan 5,000 ahlinya meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan pada Ahad lalu.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Umno Kinabatangan menyifatkan dakwaan itu “keterlaluan”.
Ketua Penerangan Umno Kinabatangan Titing Putang, berkata, hanya kira-kira 200 hadirin menghadiri majlis yang menyaksikan bekas ketua Wanita Umno Sandakan, Noraini Sulong menyerahkan permohonannya untuk menyertai Warisan.
Menurutnya, Umno masih kekal kukuh dan relevan di Kinabatangan walaupun bergelar pembangkang.
SPR buat laporan polis terhadap Manogaran
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan, M. Manogaran kerana didapati melanggar undang-undang pilihanraya dengan memakai baju berlogo parti ketika memasuki salah sebuah pusat mengundi bagi PRK Cameron Highlands, Sabtu lalu.
Menurut Unit Komunikasi Korporat SPR, laporan itu dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan, Pahang, semalam, bagi membolehkan siasatan dan tindakan selanjutnya dilakukan.
SPR menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Mengapa dunia nak ikut Israel? soal Tun M
Malaysia tidak terkesan dengan tindakan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan diadakan di Kuching, Sarawak, Julai depan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mempunyai peluang untuk menganjurkan acara sukan bertaraf dunia yang lain.
“Nak batal, batallah…tak boleh anjur olimpik, kita anjur yang lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembatalan hak penganjuran sukan itu.
Menurutnya, dunia ada kuasa tetapi terpaksa mengikut Israel, namun Malaysia tetap dengan pendirian tidak akan mengikut kehendak Israel.
Kelmarin, IPC membatalkan hak Malaysia menganjurkan kejohanan itu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan jaminan kepada perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan iaitu bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.