Pecat Haziq Abdullah dari PKR: Zuraida
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan kepemimpinan parti sebagai kurang bijak apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz susulan pengakuannnya terlibat dalam video seks.
Zuraida berkata, lelaki itu perlu dipecat kerana memalukan serta mencemar nama baik parti berikutan membuat pengakuan secara terbuka.
Sehubungan itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau akan mencadangkan supaya Haziq Abdullah dipecat dari parti dalam Mesyuarat Biro Politik PKR, hari ini.
Mesyuarat tersebut dijangka akan dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Putrajaya pinjam RM642 juta selamatkan SRC daripada hutang KWAP
Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, Datuk Seri Najib Tun Razak diberitahu hari ini, Putrajaya perlu menyelamatkan SRC International Sdn Bhd dengan meluluskan pinjaman RM642 juta apabila syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Pegawai Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz berkata jika wang itu tidak diluluskan, kerajaan yang merupakan penjamin kepada RM4 bilion dipinjam daripada KWAP perlu menyelesaikan jumlah utama dalam masa 30 hari, jika gagal membayar hutang itu.
Beliau yang merupakan saksi ke-41 berkata KWAP boleh menamatkan perjanjian pinjaman dan mendapatkan hutang penuh daripada penjamin.
UM ke-70 terbaik dunia
Universiti Malaya (UM) kini berkedudukan ke-70 terbaik dunia, naik 17 anak tangga berbanding tahun lalu berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan semalam.
QS World University Rankings edisi ke-16 itu menyaksikan universiti tertua di negara ini meneruskan kecemerlangannya apabila menduduki tempat ke-18 di Asia, peningkatan pencapaian buat kali keenam berturut-turut dan kali kedua berturut-turut dalam kedudukan 100 terbaik dunia.
Pengarah Penyelidikan QS, Ben Sowter, berkata sistem pendidikan tinggi Malaysia menunjukkan prestasi luar biasa pada edisi kali ini, namun mereka tidak boleh terlalu selesa berikutan persaingan sengit pada peringkat serantau mahupun global.
Katanya, cabaran utama kebanyakan universiti di negara ini adalah menghasilkan kajian penyelidikan berimpak tinggi.
Pesakit orang asli bertambah di Hospital Hulu Terengganu
Jumlah pesakit orang asli yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang akibat simptom jangkitan saluran pernafasan meningkat kepada 12 orang dengan pertambahan dua kes baharu semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, kedua-dua kes itu melibatkan penduduk orang asli yang berasal dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.
Mohd berkata, kedua-dua kes baharu itu dalam keadaan stabil manakala jumlah keseluruhan pesakit yang positif Measles (demam campak) masih kekal sebanyak tujuh kes.
AirAsia terima anugerah Tambang Rendah Terbaik Dunia kali ke-11
Air Asia memenangi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi 11 tahun berturut-turut di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019.
Selain itu ia juga dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed, yang terdapat dalam pesawat jarak jauh AirAsia X.
Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd, Datuk Kamarudin Meranun berkata anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan atas komitmen AirAsia menawarkan perjalanan mampu milik dan perkhidmatan mengutamakan pelanggan untuk diiktiraf Skytrax bagi 11 tahun berturut-turut.
Kenyataan tersebut diedarkan semasa majlis anugerah itu yang berlangsung di Pameran Udara Paris Antarabangsa kali ke-53 di Le Bourget di sini.
Skytrax turut menamakan Qatar Airways sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Tahun Ini.