Pas terpaksa bayar Clare Rewcastle Brown RM1.4 juta: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Pas terpaksa membayar sebanyak RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Anwar malah mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan namun hanya akan mendedahkannya sekiranya Pas terus mencabar beliau.
Kelmarin, Anwar dalam sidang akhbar selepas memberi ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang mencabar Pas untuk menjelaskan sama ada parti itu membayar RM1 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.
Bagaimana pun semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan parti itu ada membayar Clare Rewcastle Brown.
Atlet negara bakal terima rawatan setaraf kakitangan kerajaan
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan penerima Skim Kesihatan Atlet Kebangsaan bakal menerima rawatan setaraf kakitangan kerajaan.
Skim Kesihatan Atlet Kebangsaan akan membabitkan rawatan pesakit luar dan dalam hospital setaraf dengan kakitangan Kelas Dua kerajaan.
Setakat ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menawarkan skim bantuan khas kepada 3,000 bekas atlet negara.
Turut diluluskan adalah kenaikan elaun latihan atlet di mana jumlah minimum melibatkan RM800 hingga RM7,500.
Polis Sabah tahan lelaki jual KP palsu kepada pendatang haram
Polis menahan seorang rakyat Sabah yang memperdayakan pendatang tanpa izin di negeri ini supaya membeli “kad pengenalan khas” bagi melindungi mereka daripada ditangkap.
Polis percaya lelaki 43 tahun itu menjalankan kegiatannya hampir 1 bulan apabila polis menahannya di sebuah rumah di Kampung Sentosa di daerah pantai timur Sabah pada jam 11 malam semalam.
Ketua polis daerah, Fadil Marsus berkata, lelaki itu memberitahu pelanggannya beliau mengeluarkan kad keahlian untuk pertubuhannya bernama Union Malaya Borneo Corporation (Umbco).
Fadli berkata, lelaki itu mengenakan bayaran RM50 bagi setiap kad, tetapi polis berjaya menahannya sebelum kad tersebut diserahkan kepada “pelanggan”.
Harga RON95 dihadkan RM2.08 seliter
Had pengekalan harga runcit petrol RON95 yang ditetapkan pada paras RM2.20 seliter ketika ini dikurangkan kepada RM2.08 seliter berkuat kuasa semalam.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu telah dipersetujui kabinet dalam mesyuarat jemaah menteri semalam selepas mengambil kira trend harga sebenar pasaran produk petroleum yang semakin meningkat.
Guan Eng berkata, pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, harga runcit RON95, RON97 dan diesel berdasarkan pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) akan terus diumumkan secara mingguan.
Hotel Royale Chulan belum dijual, pembeli tempatan diutamakan
Proses penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd. (Boustead) masih belum dimuktamadkan.
Pejabat Menteri Pertahanan dalam kenyataannya semalam berkata, proses pernilaian masih dijalankan dan perlu dilakukan dengan teliti memandangkan lokasinya yang strategik dan berada di kawasan pelancongan utama serta zon perhotelan pusat bandar Kuala Lumpur.
Media baru-baru ini melaporkan, LTAT dan Boustead bersedia untuk menjual aset strategiknya, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta selepas menerima tawaran daripada sebuah firma Singapura, Hotel Royal Limited.