1. PAS larang ahli bincang isu parti di media
PAS mewartakan perintah larangan terhadap ahlinya supaya tidak membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika memaklumkan perintah itu mengingatkan ahlinya bahawa sebarang pandangan, pendapat, cadangan atau kritikan mesti disuarakan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.
“Larangan ini terpakai kepada semua bentuk media, sama ada media cetak, elektronik, media sosial dan sebarang siaran luar yang bukan daripada saluran parti.
“Ini adalah disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara disamping pada masa sama, mengawal dan memelihara kerahsiaan organisasi,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Perintah larangan berkenaan dipercayai dibuat susulan pendedahan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, pada Ahad lalu, bahawa lima pemimpin parti itu terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.
Bagaimanapun, lima nama pemimpin berkenaan tidak dinyatakan.
2. Kementerian Pertahanan mula siarkan laporan siasatan 16 projek ‘land swap’
Orang awam kini boleh membaca laporan siasatan penuh 16 projek ‘land swap’ tanah Kementerian Pertahanan dengan memuat turun dari portal rasmi kementerian.
Kementerian Pertahanan memaklumkan, Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan disiarkan secara berperingkat mulai semalam sehingga Jumaat ini.
“Kementerian juga membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melakukan siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan lanjut,” menurut kenyataan media hari ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebelum ini membentangkan laporan siasatan jawatankuasa di Dewan Negara pada 9 Mei lalu, dan mengumumkan laporan itu akan disiarkan secara berperingkat di portal Kementerian Pertahanan.
Mohamad berkata, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian atau ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang tempoh pelaksanaan 16 projek ‘land swap’ tanah Kementerian Pertahanan di pelbagai peringkat pelaksanaan.
3. Nafi lantikan politik ganggu penjawat awam: PM
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menafikan terdapat kakitangan lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.
Menurutnya, aduan yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu tidak betul, dan hanya melibatkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak.
“Itu bukan mengganggu, cuma perselisihan pendapat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 di Putrajaya.
Tun Dr Mahathir berkata demikian, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Cuepacs, Azih Muda yang mendakwa pihaknya masih menerima laporan terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.
Dakwanya, sehingga hari ini, Cuepacs masih menerima aduan terdapat pegawai lantikan politik yang mencampuri urusan perkhidmatan.
Menurut Azih, jika perkara sedemikian masih berterusan, maka Cuepacs berharap penjawat awam tidak akan dipersalahkan jika pelaksanaan dasar menjadi lambat.
4. Bicara kes Najib, Irwan bermula Januari 2020
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan kes pecah amanah membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan kementerian kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah bermula 6 Januari tahun depan.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika pengurusan kes hari ini juga menetapkan perbicaraan selama 52 hari. Mahkamah turut menetapkan beberapa tarikh bagi bulan Februari hingga April untuk perbicaraan kes tersebut.
“Tarikh perbicaraan kes selama 28 hari bermula 8 Julai hingga 22 Ogos depan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd,” katanya.
Pendakwaan kes ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin dan peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib serta K Kumaraendran bagi pihak Irwan Serigar.
Najib, 66, dan Irwan Serigar, 62, berdepan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.
5. Bekalan akhirat buat mangsa MH17
Pembukaan Masjid Al-Ghazali di Jalan Depo, Petra Jaya, pada malam kelapan Ramadan semalam, membawa makna tersendiri kepada waris enam sekeluarga dari bandar raya ini yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17, empat tahun lalu.
Ia yang memiliki kapasiti 450 jemaah dibina menggunakan bayaran pampasan diterima waris mereka, malah turut sebagai memperingati enam sekeluarga itu.
Selain ruang solat utama, sumber memberitahu, masjid berkenaan yang menampilkan reka bentuk Islamik moden, turut dilengkapi ruang solat jemaah wanita, blok tandas, tempat wuduk, bilik pejabat dan ruang parkir kenderaan.
“Waris terdekat mencapai persetujuan bersama agar wang pampasan dimanfaatkan bagi tujuan wakaf, termasuk bagi membiayai kos pembinaan masjid baharu ini.
Pembukaan Masjid Al-Ghazali dimulakan dengan majlis berbuka puasa, disusuli solat Maghrib dan Isyak, seterusnya solat Tarawih berjemaah.
END