Najib sindir PH tanya ‘poket Doraemon’ ada?
Datuk Seri Najib Razak menyindir pemimpin Pakatan Harapan (PH) sama ada mereka ada “poket Doraemon” untuk mengatasi masalah ekonomi negara.
Bekas perdana menteri itu membuat pertanyaan susulan kenyataan timbalan menteri kerja raya Mohd Anuar Mohd Tahir yang menyebut PH tidak ada “lampu Aladin” bagi membaiki ekonomi.
Najib juga mendakwa ekonomi “sangat kukuh” sebelum pilihan raya umum ke-14 tetapi “terbalik” apabila negara dikuasai PH berikutan rakyat “terpedaya cakap Najib hancurkan ekonomi”, katanya di facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Mohd Anuar Mohd Tahir meminta rakyat memberi masa bagi mengatasi isu ekonomi kerana kerajaan PH “bukan ada lampu Aladin yang boleh gosok-gosok selesai masalah”.
Pas beri laluan kepada BN di DUN Rantau
Pas akan meneruskan kerjasama dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.
Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha berkata keputusan itu berdasarkan persefahaman yang dicapai kedua-dua parti sebelum ini untuk saling membantu.
Terdahulu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum pada 18 Feb lalu menolak rayuan Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.
Warga emas tak mengaku hina nabi
Seorang lelaki warga emas, Wai Foo Sing, 68 yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya, baru-baru ini mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan pertama lelaki berasal dari Bentong Pahang itu didakwa memuat naik satu hantaran melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Foo Sing Wai” di mana tindakan tersebut berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama di antara kumpulan orang yang beragama Islam dengan kumpulan orang yang bukan beragama Islam di seluruh negara pada 5 petang, 17 Feb lepas.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar menggunakan profil Facebook sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Suspek curi berlian RM2.89 juta lari ke Vietnam
Suspek yang disyaki melarikan cincin berlian RM2.89 juta dari sebuah kedai emas di Genting Highlands, Ahad lalu dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek warga asing berusia dalam lingkungan 50-an itu keluar dari negara ini pada hari sama dipercayai ke Vietnam.
Menurutnya, identiti suspek berjaya dikenal pasti berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Mohd Wazir berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh pekerja kedai bahawa suspek pernah datang untuk melihat cincin yang sama sebulan yang lalu.
Lebih 60 orang dikhuatiri tertimbus di tapak lombong emas haram di Sulawesi
Lebih 60 orang dipercayai tertimbus di tapak perlombongan emas tanpa izin di Kabupaten Bolaang Mongondow, Sulawesi Utara, Indonesia, malam semalam.
Tapak perlombongan emas haram di kawasan hutan itu, yang mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki dari Desa Bakan Kecamatan Lolayan, tertimbus akibat berlaku kejadian tanah runtuh pukul 9.00 malam.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), setakat pagi hari ini, 13 orang yang cedera berjaya diselamatkan, seorang lelaki disahkan meninggal dunia, manakala lebih 60 lagi dikhuatiri tertimbus.
Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa telah bertindak menutup kawasan itu, namun penduduk kawasan berkenaan bertindak menceroboh dan melakukan aktiviti melombong secara haram pada waktu malam.