1. Najib, Rosmah, anak minta teliti harta rampasan
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Nooryana Najwa memfailkan notis usul bagi meneliti butiran harta mereka yang disita pihak berkuasa tahun lepas, antaranya ratusan beg tangan dan pelbagai mata wang asing.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib, di hadapan Hakim Mohamed Zaini hari ini.
Najib memfailkan notis usul itu pada 18 Julai, manakala Rosmah dan Nooryana pula memfailkannya sehari selepas itu.
Najib melalui afidavidnya menyebut alasan pemfailan itu dibuat kerana ia melibatkan harta alih yang banyak dan penggunaan deskripsi ‘pelbagai jenama’ adalah kabur dan tidak jelas, sekali gus menyukarkan pemohon dalam membuat tuntutan secara efektif terhadap harta barangan yang dirampas.
2. 14 September jadi saksi kerjasama rasmi UMNO-Pas
UMNO dan Pas sepakat akan menandatangani satu piagam bersama dan memorandum persefahaman untuk bekerjasama iaitu bertaawun pada 14 September ini.
Dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung kedua-dua parti itu, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, UMNO dan Pas telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama antara satu dengan lain dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air.
Hal demikian, kedua-dua parti telah memuktamadkan dan akan memeteraikan satu piagam bersama dan satu memorandum persefahaman yang telah siap digubal oleh satu jawatankuasa bersama diwujudkan sebelum ini.
3. Enam penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah
Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas 40 pertuduhan membabitkan nilai suapan keseluruhan berjumlah RM20,050.
Kesemua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Nizam Zakaria selepas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, pagi tadi.
Mohamad Azlan menawarkan wang jaminan antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, Nizam membenarkan semua tertuduh diikat jamin di antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.
4. Nasihat menteri kesihatan: Jauhi anak-anak dari ‘bubble tea’
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menasihatkan ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka mengambil minuman manis terutama minuman teh gelembung (bubble tea) yang popular sekarang.
Ini susulan paras gula dalam minuman teh gelembung adalah berlebihan dan di luar tahap pengambilan harian yang ideal.
Dzulkefly berkata kementerian itu tidak boleh menafikan hak pengguna tetapi ia akan terus memantau trend produk bergula tertentu.
5. Kejutan saat akhir, Erdogan sambut Tun Mahathir di Ankara
Kehadiran Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyambut ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga mengejutkan banyak pihak.
Ini kerana sambutan oleh Erdogan itu tidak tersenarai dalam jadual rasmi program Perdana Menteri Malaysia malam tadi.
Berdasarkan jadual program, kedua-dua pemimpin itu hanya akan mengadakan pertemuan empat mata dan menerima sambutan rasmi di Istana Presiden petang ini.