Najib mohon batal tiga pertuduhan ubah wang haram RM27 juta
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta daripada SRC International.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan ketika sebutan kes tersebut hari ini.
Kata Shafee, ketiga-tiga pertuduhan itu bukan merupakan kesalahan predikat, sebaliknya menumpang tujuh pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah (tinggi) (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) tetapi dikeluarkan (kerana didengar bersama kes RM27 juta) kerana perkara-perkara prosedur.
Bagaimanapun Timbalan pendakwa raya (DPP) Budiman Lutfi Mohamed kemudian bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwa akan mencabar usaha membatalkan ketiga-tiga pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla).
Lelaki warga Nigeria suspek utama bunuh jururawat direman seminggu
Seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho bermula hari ini hingga 23 Mei ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan susulan penemuan mayat wanita itu di kondominium Third Avenue di Cyberjaya semalam.
Lelaki berusia 36 tahun itu yang dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu mayat Siti Khairina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu bilik rumah itu.
Ezam umum penubuhan Parti Negara
Datuk Ezam Mohd. Nor hari ini mengumumkan penubuhan Parti Negara, sebuah parti politik yang akan berjuang melawan rasuah.
Menurut Ezam, Parti Negara atau singkatannya NEGARA, berdiri pada satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara anti rasuah yang bersih dari gejala rasuah dalam segenap lapisan masyarakat.
Katanya, NEGARA adalah parti berbilang kaum dimana ahli partinya terbuka kepada setiap warganegara yang berumur 18 tahun ke atas.
19,244 penjawat awam Selangor dapat bonus raya sebulan gaji
Seramai 19,244 penjawat awam Selangor akan menikmati bonus satu bulan gaji sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pemberian bantuan khas itu diumumkan Menteri Besar, Amirudin Shari pada Rapat Ramadan Bersama Kakitangan Awam Selangor 2019 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.
Menurut Amirudin, bantuan di bawah Insentif Mahabbah Ramadan itu akan dibayar kepada semua penjawat awam pada 7 Jun depan.
Selain itu, Selangor juga turut menyediakan bantuan khas berjumlah RM1,000 kepada 739 orang kakitangan persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.
Anak Najib bertunang dengan ahli politik Indonesia
Anak bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bertunang dengan seorang ahli politik muda dari bekas parti pemerintah Indonesia Golkar, Fitri Aprinasari Utami.
Majlis pertunangan Nazifuddin Najib dan Fitri yang berusia 25 tahun itu diadakan di sebuah hotel di Jakarta pada 4 Mei lalu.
Difahamkan, pasangan itu merancang berkahwin pada Disember nanti.
Nazifuddin, 32, ialah seorang daripada 3 anak Najib daripada perkahwinan terdahulu dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.
Najib dan isterinya, Rosmah Mansor dalam senarai larangan keluar negara sejak beliau hilang kuasa tahun lalu dan tidak menghadiri majlis pertunangan itu