Najib ajak Kit Siang berdebat
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedia berdebat cara gaya bebas dengan pengkritiknya, Lim Kit Siang, selepas pemimpin kanan DAP itu menyerangnya secara terbuka, baru-baru ini.
Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Najib menyifatkan tindakan Kit Siang yang gemar mengkritiknya sebagai obses terhadapnya.
Kata Najib tindakan itu diambil supaya rakyat boleh menilai pendirian masing-masing da;am isu-isu tertentu.
Kata Najib, Kit Siang senyap beberapa bulan selepas beliau digelar “Menteri Hal Ehwal Najib”.
Dalam serangan terbarunya terhadap Najib, bekas ahli politik veteran DAP itu mendakwa frasa Najib, “Malu Apa Bossku” melanggar Rukunegara kerana cuba menghalang reformasi kerajaan Pakatan Harapan.
Royalti: Kelantan tarik balik saman terhadap PETRONAS
Kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung tuntutan royalti minyak akhirnya selesai selepas sembilan tahun selepas kerajaan negeri itu menarik balik tindakan undang-undang tersebut.
Perkara itu disahkan Peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan negeri Kelantan ketika ditemui pada prosiding pengurusan kes itu.
Bagaimanapun menurutnya, kes saman terhadap kerajaan persekutuan masih diteruskan susulan tiada sebarang arahan berhubung kes saman itu.
Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri Kelantan selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan atas dakwaan syarikat minyak itu melanggar kontrak pembayaran royalti.
Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.
SPRM buka 70 kertas siasatan kes rasuah JPJ Pulau Pinang
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka 70 kertas siasatan berhubung kes rasuah melibatkan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya menjangkakan beberapa kes akan dibawa ke mahkamah seawal-awalnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Media sebelum ini melaporkan lebih 20 kakitangan JPJ yang ditahan itu berjawatan penguat kuasa gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM10,000 dan RM32,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya selain membocorkan maklumat operasi jabatan itu.
Kumpulan lori-lori yang dilindungi itu juga dilaporkan dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto agar mereka mudah dikenal pasti dan kebal daripada tindakan penguat kuasa.
Sultan Ibrahim sedia balas kad ucapan raya rakyat
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah akan mengutus kembali kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang diterima daripada rakyat jelata.
Sultan Ibrahim bertitah, orang ramai boleh mengirim kad ucapan hari raya kepada Baginda beralamat di Istana Pasir Pelangi dan setiap kad yang diterima akan dibalas semula.
Baginda percaya bahawa mengutus kad hari raya secara tradisional dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, titah Baginda kepada Royal Press Office hari ini.
Hari ini, Sultan Johor berkenan menandatangani sebanyak 100 kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada Baginda dan juga keluarga DiRaja Johor di Istana Pasir Pelangi.
Secara lazimnya pada setiap tahun, Baginda berkenan menandatangani sendiri setiap kad ucapan Hari Raya yang kemudian disampaikan kepada orang kenamaan, pegawai kerajaan, kakitangan Istana Johor serta orang awam.
AS tangguh larangan ke atas Huawei selama 90 hari
Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan penangguhan selama 90 hari ke atas larangan berurusan dengan gergasi teknologi China, Huawei, kerana ruang diperlukan untuk mengelakkan gangguan besar-besaran.
Sebaliknya, ia memberikan lesen sementara yang akan membolehkan Huawei terus menjalankan perniagaan bersama firma AS.
Lesen am sementara itu bagi memberi masa kepada pengendali untuk membuat pengaturan lain dan (memberi) ruang kepada jabatan untuk menentukan langkah-langkah jangka panjang yang sesuai untuk AS dan penyedia telekomunikasi asing yang kini bergantung pada peralatan Huawei untuk perkhidmatan kritikal.
Pentadbiran Trump baru-baru ini secara rasminya menyenarai hitam Huawei, sekali gus akan menyukarkan lagi gergasi telekomunikasi itu untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat AS.
Tindakan itu berlaku apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perangan tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.