Najib ada pengaruh luluskan duit KWAP untuk dipinjamkan SRC International
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpuir hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pengaruh berhubung keputusan untuk meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Azian Mohd Noh, 66, berkata Najib, yang juga bekas menteri kewangan ketika itu, merupakan ‘ketua paling besar’ beliau, justeru, mempunyai kuasa berhubung keputusan KWAP untuk meluluskan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.
Azian, yang juga saksi ke-38 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan Najib.
Azian, yang kini bersara, berkata sungguhpun tidak terdapat pemaksaan yang sah, Najib masih mempunyai pengaruh pada tahap tertentu, disebabkan beliau adalah menteri kewangan dan hakikat bahawa Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki SRC International Sdn Bhd.
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sebutan semula kes rasuah RM2.8 juta Bung Moktar, Zizie 4 Julai
Kes tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izetti A Samad berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) empat tahun lalu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai ini.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen berkaitan kes masih belum lengkap.
Menurut Allan, pihak pendakwaan telah menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.
Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Kelantan nafi wujud aktiviti perlombongan punca kematian Orang Asli Kuala Koh
Kerajaan negeri menyangkal dakwaan mengatakan wujud aktiviti perlombongan di kawasan Kuala Koh, Gua Musang sekali gus menjadi penyebab kepada kematian misteri orang asli di kawasan itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri kini sedang menunggu maklumat lengkap daripada agensi yang terlibat untuk mengenal pasti isu tersebut dengan lebih lanjut.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri juga tidak pasti jika wujud perlombongan haram di kawasan tersebut dan masih menunggu laporan Pejabat Tanah dan Galian.
Malah, Mohd Amar berkata, ia termasuklah juga untuk memastikan sama ada wujud pelombong yang beroperasi walaupun lesen tamat tempoh.
Setiausaha Akhbar Zuraida letak jawatan
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahmad Soffian Mohd. Shariff telah meletak jawatan daripada tugas tersebut bermula hari ini.
Ahmad Soffian juga merupakan suami kepada peguam, Syazlin Mansor yang menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ahli keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam inkues kematian anggota bomba itu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau telah menerima notis perletakan jawatan daripada Ahmad Soffian melalui aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, Ahmad Soffian telah memaklumkan perletakan jawatannya melalui kiriman WhatApp kepada pihak media hari ini.
Menurutnya, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan hari ini dan akan bercuti selama sebulan.
Laporan: India cuba dapatkan waran tangkap Zakir Naik
Satu keputusan mahkamah di India yang dijadualkan pada 19 Jun, dijangka menetapkan langkah seterusnya bagi pihak berkuasa India dalam usaha mengekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik dari Malaysia.
Keputusan itu, di mahkamah khas di Mumbai, akan menjadi sama ada waran tangkap kesalahan tidak boleh dijamin boleh dikeluarkan terhadap Naik atas tuduhan pengubahan wang haram.
Direktorat Penguatkuasaan India (ED), agensi utamanya terhadap pengubahan wang haram, memfailkan tuduhan terhadap Naik dan yang lain di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. ED dijangka akan mendapatkan waran daripada mahkamah, menurut laman web Times Now.
Tuduhan itu melibatkan lebih RM115 juta yang berlaku di India dan di luar negara.
Zakir Naik yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, juga disiasat Agensi Penyiasatan Kebangsaan kerana dikatakan menghasut permusuhan dan kebencian antara komuniti agama yang berbeza melalui ucapan provokatif.