Melayu perlu ubah sikap, rebut peluang kerja: Dr Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh menganggap diri mereka tuan di negara sendiri sekiranya mereka miskin dan terus bergantung kepada belas kasihan orang lain.
Dr Mahathir menegaskan mereka perlu merebut peluang pekerjaan yang kini banyak dipegang oleh orang asing, katanya dalam catatan bertajuk ‘Tak Bekerja’ di laman blognya, Chedet.
Sebaliknya kata Mahathir, orang Melayu perlu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar.
Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing.
Video intim: NGO mohon Sultan Selangor campur tangan
Pertubuhan Bangkit dan Gabungan Gerak Padu Selangor memohon Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan bagi menyelesaikan isu berhubung isu video intim yang mengaitkan seorang menteri kanan.
Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan berkata, pihaknya menyerahkan laporan penyedia perkhidmatan analisis forensik, Verden Forensics di United Kingdom berkenaan video berkenaan kepada Istana Selangor supaya tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan isu video intim itu.
Serahan yang dilakukan bersama Pengerusi Gerak Padu Selangor, Muhammad Faizal Sufar itu diterima Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Shahrin berkata, sekiranya tiada tindakan daripada kerajaan dan peguam negara, pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain akan terus menggerakkan penyebaran hasil siasatan pakar forensik oleh sebuah badan forensik di United Kingdom itu.
CEO Cradle Fund mati dibunuh: Pendakwaan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu pihak pendakwaan akan membuktikan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan mati dibunuh dan bukan akibat kebakaran pada tengah hari 14 Jun 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Nazrin, 47, dibunuh terlebih dahulu sebelum bilik utama di kediamannya di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya dibakar untuk menutup punca kematiannya.
Selain itu, pendakwaan juga akan bergantung kepada Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi menunjukkan niat bersama ketiga-tiga tertuduh.
Ketika membacakan ucapan pembukaan bagi kes pembunuhan Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini, Raja Rozela berkata, sebelum kematiannya, Nazrin tinggal di rumah tempat kejadian bersama-sama tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, dan dua tertuduh remaja serta dua anak kecil selain seorang wanita warga Indonesia bernama Eka Wahyu Lestari.
Indonesia mohon maaf insiden di Stadium Gelora Bung Karno
Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi hari ini secara terbuka memohon maaf atas insiden buruk yang tercetus pada pertembungan Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, malam semalam.
Imam Nahrawi bertemu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyampaikan permohonan maaf dan rasa kesal atas kekecohan ditimbulkan penyokong tuan rumah itu.
Pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokong skuad Garuda.
Namun, perlawanan itu tercemar dengan insiden rusuhan penyokong Indonesia yang menceroboh masuk kawasan stadium dan menyerang kawasan tempat duduk penyokong Malaysia selain membaling botol dan pelbagai objek termasuk suar dari tingkat atas kawasan penyokong negara.
Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe meninggal dunia
Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe meninggal dunia hari ini pada usia 95 tahun, lapor BBC memetik sumber keluarganya.
Pemimpin pertama pasca kemerdekaan itu dikatakan meninggal dunia akibat sekian lama berada dalam keadaan uzur.
Mugabe disingkirkan dari pentadbiran selepas satu rampasan kuasa oleh pihak tentera pada November 2017.