MB Johor disaran lepaskan jawatan?
Dewan Muda Johor (DMJ) mahu Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengambil langkah berjiwa besar melepaskan jawatannya dengan cara terhormat, jika benar spekulasi beliau akan ditukar, lapor Utusan Online.
Menurut DMJ, cara begitu adalah lebih baik dan terpuji untuk Osman daripada membiarkan Johor terus diheret dalam kancah politik dalaman yang sememangnya bakal merugikan rakyat dan negeri jika spekulasi itu dibiar.
DMJ dilaporkan berkata kemelut baharu itu ada kaitan dengan krisis kesepakatan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) dengan setiap parti sudah tentu bercita-cita untuk meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar.
Namun, kata DMJ, apa yang berlaku adalah Johor sejak diambil alih kerajaan PH memperlihatkan Menteri Besar mentadbir negeri itu berseorangan tanpa sokongan dan dokongan daripada barisan Exco serta wakil rakyat blok kerajaan sendiri.
Katanya, bermula defisit kepercayaan terhadap kejujuran kelayakan akademik sehingga caranya menguruskan bencana toksik di Sungai Kim Kim, dan kemuncaknya lawatan ke Batam, Indonesia meninggalkan rakyat di Pasir Gudang.
Justeru, kata DMJ, daripada terus berspekulasi serta mengambil kira imej beliau yang sudah tercalar, adalah lebih baik Menteri Besar Johor berjiwa besar melepaskan jawatan dengan cara terhormat.
Didakwa milik banglo RM6 juta, Khairy pertahan kekayaan Tok Mat
Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mempertahankan hasil kekayaan calon BN DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan yang tidak patut dipertikaikan kerana bekas menteri besar Negeri Sembilan itu adalah tokoh korporat dan memegang jawatan penting dalam syarikat pengeluar kereta antarabangsa, sebelum menceburi bidang politik pada 2004.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Tok Mat yang diapnggil menyertai politik pada tahun 2004 adalah seorang Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz.
Sementara itu, calon PH Dr S Streram semalam meminta penjelasan Mohamad berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau bernilai hampir RM6 juta terletak di Saujana Duta, Seremban 2.
Mohamad bagaimanapun manafikan dakwaan itu, sambil menjelaskan, beliau tidak memiliki rumah di Negeri Sembilan dan hanya menyewa di negeri itu selepas kekalahan BN.
PRK Rantau: Proses pengundian awal bermula
Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula pukul 8 pagi ini hari ini selepas dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, dibuka.
Ia membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.
Proses pengundian di PU Sendayan yang merupakan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.
Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan seramai 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Seludup pil kuda, syabu dari Siam berleluasa di Kelantan
Kedudukan Kelantan yang berjiran dengan Thailand menjadi faktor dadah sintetik jenis pil kuda dan syabu mudah diperoleh dengan mudah.
Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd Samad berkata, pil kuda ini boleh didapati dengan harga RM7 hingga RM8 sebiji di Thailand dan boleh dibeli oleh murid sekolah rendah.
Menurutnya, pil kuda mula menjadi kegemaran murid-murid sekolah kerana ia berbentuk pil dan mudah ditelan.
Semalam, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, seramai 12,477 daripada individu yang dikesan menjadi ‘hamba dadah’ dalam tempoh lima tahun bermula 2014 hingga 2018 di Kelantan adalah dalam kalangan lelaki.
Beliau berkata, sebanyak 90.1 peratus penggunaan pil kuda dan syabu oleh penagih telah direkodkan sepanjang lima tahun bermula 2014 hingga 2018.
Swafoto di pantai Thailand berdepan hukuman mati
Pelancong boleh berdepan hukuman mati jika didapati mengambil gambar atau swafoto di pantai sekitar lapangan terbang di Thailand.
Pantai berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket itu sangat popular dengan gelagat pelancong yang tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar dengan berlatar belakangkan pesawat yang sedang berlepas.
Timbalan Pengurus Besar Lapangan Terbang, Wichit Kaewsaithiam berkata tindakan itu boleh menganggu fokus juruterbang.
Kata beliua, pihaknya mahu kawasan itu bebas dari kemalangan dan mengutamakan keselamatan pelancong.