Malaysia catat IPU pencemaran udara ketiga tertinggi dunia
Disebabkan jerebu yang melanda negara, Malaysia menduduki tangga ketiga di dunia dalam senarai negara yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi selepas Iran dan Indonesia.
Berdasarkan cerapan IPU oleh World Air Quality Index (WAQI) pada 8.27 pagi hari ini, Malaysia mencatat bacaan IPU 271 manakala Iran (385) dan Indonesia (303).
Bagaimanapun, bacaan IPU mengikut negeri semakin reda hari ini setakat jam 8 pagi memandangkan tiada satu lokasi yang mencatatkan bacaan IPU melepasi tahap berbahaya.
Hari ini, sebanyak 2,459 sekolah membabitkan jumlah pelajar hampir mencecah angka 2 juta di lapan negeri termasuk di Sarawak ditutup.
Jerebu: Hampir dua juta pelajar tidak bersekolah hari ini
Sebanyak 2,459 sekolah membabitkan jumlah pelajar seramai 1,732,642 orang di lapan negeri termasuk di Sarawak ditutup hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan di laman sosial Twitter memberitahu, penutupan membabitkan 911,874 pelajar di 939 sekolah di Selangor, serta 243,972 pelajar daripada 399 sekolah di Pulau Pinang.
Selain itu katanya, sebanyak 296 sekolah membabitkan 217,657 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pelajar daripada 250 sekolah di Perak membabitkan 63,782 pelajar turut ditutup sehingga Jumaat.
India larang penjualan rokok elektronik
India semalam mengumumkan larangan penjualan rokok elektronik sehari selepas New York menjadi negeri kedua di Amerika Syarikat, melarang semua rokok elektronik berperisa selain tembakau dan mentol susulan siri kematian berkaitan e-rokok atau vape.
Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman dilaporkan berkata larangan berkenaan turut meliputi pengeluaran, pembuatan, import, eksport, penjualan, pengedaran, penyimpanan e-rokok dan juga iklan.
Hukuman termasuk penjara selama setahun boleh dikenakan sekiranya larangan tidak dipatuhi.
Anwar yakin tahun depan bakal bergelar PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan kefahaman yang telah dibentuk sebelum ini.
Dalam sebuah temu ramah bersama Bloomberg TV, Presiden PKR itu berkata, peralihan kuasa itu dijangka berlangsung pada tahun hadapan.
Isu peralihan kuasa Perdana Menteri mendapat perhatian walaupun Dr. Mahathir berulang kali menyebut akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar apabila tiba waktunya kelak.
Semalam, Anwar menerima sokongan daripada Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) yang diterajui bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
The Bos Gaurus iringi Pahang ke suku akhir Piala Malaysia
Perak mengiringi Pahang ke suku akhir saingan Piala Malaysia walaupun sekadar seri 1-1 berdepan Sabah di Stadium Likas, malam semalam.
Skuad The Bos Gaurus mengakhiri peringkat kumpulan di tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan sekali gus mengatasi Pulau Pinang di tempat ketiga tanpa mengira keputusan pasukan itu.
Pada perlawanan itu, Perak menguasai hampir keseluruhan permainan di separuh masa pertama dan memperolehi gol pertama pada minit ke-25.
Bermula babak kedua, tuan rumah memulakan permainan dengan lebih garang dan menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 menerusi tandukan Maxsius Musa yang menerima hantaran sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin.