1. Mahathir kekal jadi PM walaupun…
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya untuk melepaskan jawatan perdana menteri sebelum tamat tempoh penggalnya.
Walaubagaimanapun, pemimpin berusia 94 tahun itu ketika mengulas soalan wartawan berkata beliau boleh melakukan sebaliknya sekiranya pistol diacu ke kepala beliau dan diminta untuk kekal memegang jawatan sehingga habis penggal.
Namun tambahnya, beliau akan tetap menunaikan janjinya itu meskipun pernah berkata sebelum ini beliau akan berundur apabila negara kembali stabil dan pulih.
Tambah beliau, ia akan mengambil masa setahun dua untuk negara kembali stabil dan pihaknya sedang berusaha ke arah itu.
2. Wan Azizah terkejut, terkilan dengan Senator PKR
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui terkejut dan terkilan membaca kenyataan Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid dalam Dewan Negara semalam.
Semalam, Mohamad Imran mencadangkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda diwujudkan.
Dr Wan Azizah berkata, tindakan mempertikaikan wanita sebagai ancaman jenayah kerana etika berpakaian atau cara percakapan adalah tanggapan yang salah.
Beliau berkata sebagai seorang Senator PKR, Mohamad Imran seharusnya lebih prihatin dan sensitif akan pendirian parti berkait isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual.
3. PM sahkan ada bertemu pemimpin pembangkang
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan sudah bertemu dengan beberapa pemimpin daripada parti UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pembangkang Selasa lalu.
Menurutnya, sebarang pertemuan dilakukan dengan semua pihak bukan hanya dari pemimpin politik pembangkang malah, badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata bahawa beliau menerima baik pertemuan daripada pemimpin pembangkang yang datang daripada pelbagai parti termasuk Pas, UMNO dan dari Sarawak serta terbuka mendengar apa yang ingin diperkatakan.
4. Geng basikal lajak diangkut ke balai
Sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang menunggang basikal lajak diserbu ketika sedang leka menunjukkan aksi lagak di atas jalan raya di Titi Hayun, semalam.
Ketua Polis Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 12 tengah hari berhubung sekumpulan kanak-kanak bermain 50 buah basikal.
Beliau berkata pihaknya mendapati mereka yang menaiki basikal lajak terdiri daripada lingkungan umur 12 hingga 20 tahun.
Tambah beliau pihak polis hanya berjaya menahan lebih 10 buah basikal lajak bersama penunggang manakala selebihnya berjaya melarikan diri.
5. Aiman, Zahirah kahwin Februari 2020
Aiman Hakim dan kekasih hati, Zahirah MacWilson bakal berkahwin pada Februari 2020.
Bagaimanapun, menurut pasangan merpati dua sejoli itu, belum ada tarikh yang muktamad lagi kerana bergantung kepada kelapangan tarikh di lokasi majlis.
Katanya mereka akan mengadakan satu majlis sahaja untuk kedua-dua belah pihak sekali gus.
Menyentuh mengenai kursus kahwin, pasangan ini belum menghadirinya lagi.