Mahathir antara 100 individu paling berpengaruh TIME 2019
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkul gelaran sebagai salah seorang individu paling berpengaruh bagi tahun 2019 dalam senarai tahunan oleh majalah TIME.
Senarai ‘100 Most Influential People’ dikeluarkan setiap tahun oleh TIME sebagai penghormatan kepada individu-individu berpengaruh daripada pelbagai latar belakang.
Antara individu ternama dalam bidang politik yang turut tersenarai adalah Presiden Donald Trump, pemimpin China Xi Jinping, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan ahli kongres wanita Amerika Syarikat paling muda, Alexandria Ocasio-Cortez.
Antara yang lain termasuk ikon dalam bidang sukan seperti Tiger Woods, Lebron James, pemain bola sepak Liverpool tersohor, Mohamed Salah dan pemain tenis Naomi Osaka.
4 jenayah jadi undang-undang Malaysia jika ratifikasi Statut Rom
Empat jenayah antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pencerobohan akan dijadikan sebagai undang-undang tempatan sekiranya Malaysia meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin berkata selepas diratifikasi, ia harus dijadikan sebagai undang-undang negara sama ada menerusi pindaan akta sedia ada atau mewujudkan akta baru, tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Jelas Saifuddin lagi, prinsip ICC adalah sebagai mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terlibat secara jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pesalah terbabit.
Katanya, selagi negara itu berkehendak dan berkemampuan untuk mengadili dan seterusnya menghukum pesalah terbabit, kita boleh buat sendiri dan ICC tidak akan campur tangan.
Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.
Kebakaran hotel di Songkhla: 3 rakyat Malaysia masih terima rawatan
Tiga rakyat Malaysia masih menerima rawatan di hospital susulan terlibat dalam kejadian kebakaran di sebuah hotel di Sadao, Songkhla, Jumaat lalu (12 April).
Ketiga-tiga mangsa termasuk sepasang suami isteri kini menerima rawatan di Hospital Hatyai.
Seramai 15 orang rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kebakaran pada 8.25 pagi (waktu tempatan) itu.
Ketua Polis Pelancongan Wilayah Songkhla Dr Sannya Niampradit berkata ketiga-tiga mangsa berusia antara 61 dan 54 tahun mengalami sesak nafas yang teruk akibat asap tebal dalam kejadian itu.
Ingatkan buaya, rupa-rupanya Ikan tapah 20kg
Ketua Kampung Parit Madirono, Mahni Jais yang berjaya menangkap ikan tapah 20kg bersama rakannya di Sungai Benut, pada Ahad lalu menganggap sebagai rezeki ahli persatuan kompang di kampungnya.
Kejayaan itu sekali gus mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial memandangkan ikan tapah yang digelar penghulu ikan itu jarang ditemui di kawasan sungai-sungai di Pontian.
Menceritakan detik ikan tapah ditangkap Mahni berkata, dia hanya terbayang buaya ketika cuba menarik jala.
Katanya, selepas hampir 15 minit dia dan rakannya berusaha menarik jala akhirnya mereka berjaya menangkap ikan tapah yang kemudiannya dinaikkan ke dalam bot menggunakan cangkuk besi.
Mahni turut berkongsi rezeki ikan tapah bersama penduduk dengan mengadakan rewang memasak asam pedas di rumahnya.
Nahas bas pelancong di Portugal ragut 29 nyawa
Sekurang-sekurangnya 29 orang termasuk warga Jerman terbunuh dalam nahas melibatkan sebuah bas pelancong di pulau Madeira, semalam.
Dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang (waktu tempatan) berhampiran kawasan kediaman di bandar Canico itu, bas yang dipercayai membawa 55 penumpang tersebut dikatakan terbabas dan berpusing di atas jalan sebelum terbalik beberapa kali lalu merempuh sebuah rumah yang terletak berhampiran cerun.
Datuk Bandar Santa Cruz Filipe Sousa berkata, 17 wanita dan 11 lelaki maut manakala 21 yang lain dilaporkan cedera.
Sementara itu, Perdana Menteri Portugal Antonio Costa dilaporkan telah menghubungi Cancelor Jerman Angela Merkel bagi menyampaikan ucapan takziah ekoran insiden yang berlaku.