KWAP pinjamkan SRC RM4 bilion selepas dilulus Najib
Dana persaraan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) meminjamkan SRC International sebanyak RM4 bilion selepas pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil mengemukakan cadangan 2 muka surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2011.
Bekas naib presiden KWAP, Amirul Imran Ahmat berkata Najib, yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan pada masa itu, menandatangani surat itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Azian Mohd Noh.
Surat cadangan itu bertarikh 3 Jun 2011 dan Najib dikatakan memberikan kelulusannya 2 hari kemudian.
SRC adalah anak syarikat milik penuh dana kerajaan 1MDB, yang berada di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.
KWAP, yang dikatakan mempunyai dana bernilai RM104 bilion, diletakkan di bawah bidang kuasa menteri kewangan.
Amirul, di bawah pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, berkata SRC pada mulanya memohon RM3.95 bilion tetapi KWAP hanya meluluskan RM2 bilion pada 2011 dan RM2 bilion lagi pada tahun berikutnya.
Orang gagal kawal nafsu tak mungkin berjaya: Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pihak yang gagal melawan nafsu akan tergolong dalam kalangan mereka lemah dan tidak berjaya.
Mahathir berkata, tidak dinafikan hawa nafsu sememangnya akan mendorong manusia melakukan perkara dilarang dalam agama dan ditentang masyarakat seperti menerima rasuah.
Berucap di depan penjawat awam hari ini, Mahathir mengingatkan usaha melawan nafsu tidak seharusnya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, tetapi perlu dilakukan pada bulan-bulan lain.
Jelasnya, sekiranya rakyat boleh menahan diri dari melakukan perbuatan dilarang agama, tidak mustahil akhirnya ia akan memberi kesan baik kepada diri serta akan dipercayai masyarakat dunia.
Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kemudiannya mengangkat dan melafazkan sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Pelantikan Tengku Maimun yang berkuat kuasa 2 Mei lepas dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.
Pelantikan Tengku Maimun itu sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.
13 pelajar sesak nafas akibat terhidu gas iodin di Pulau Pinang
Kira-kira 13 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas, Pulau Pinang mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu gas iodin hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, pelajar dilaporkan sedang melakukan uji kaji melibatkan bahan kimia iodin di dalam makmal.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, seramai 13 pelajar terdiri daripada 11 perempuan dan dua lelaki dilaporkan terhidu gas tersebut.
Kurang 2 minggu, kutipan Avengers: Endgame cecah lebih RM8.3 bilion
Filem Avengers:Endgame meneruskan dominasi global dalam carta box office apabila berjaya melepasi kutipan RM8.30 bilion dalam masa kurang dua minggu sekali gus mengatasi filem Titanic sebagai filem kedua dengan kutipan tertinggi di seluruh dunia.
Filem tersebut merupakan salah satu dari lima filem yang pernah mencapai kejayaan seperti itu dan ia kini berada di belakang filem Avatar yang berada di tempat pertama dengan kutipan sebanyak RM11.6 bilion.
Avatar yang ditayangkan pada tahun 2009, melepasi paras RM8.30 bilion dalam masa 47 hari tayangan berbanding filem Avenger:Endgame yang hanya mengambil masa 11 hari sejak ditayangkan sekitar penghujung April lalu.