1. Khairil Nizam dinobat Ketua Dewan Pemuda Pas
Seperti dijangka, jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas kini disandang oleh Ir Khairil Nizam Khirudin yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti tahun ini.
Khairil Nizam menggantikan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tidak mempertahankan jawatannya.
Dua jawatan tertinggi lain iaitu Timbalan Ketua Dewan Pemuda dan Naib Ketua Dewan Pemuda turut dimenangi tanpa bertanding oleh Ahmad Fadhli Shaari dan Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Selain itu, seramai 12 Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas Pusat turut dipilih daripada 16 orang yang bertanding.
2. Pemuda Pas restu kerjasama UMNO-Pas, harap veteran setuju
Kerjasama Pas-UMNO mendapat restu sayap Pemudanya melalui perbahasan di hari kedua Muktamar Tahunan Pemuda Pas ke-60, hari ini.
Ketika wakil Kedah, Nasrun Othman tampil bertanya kepada perwakilan sama ada bersetuju atau tidak dengan kerjasama itu, rata-ratanya memberikan sokongan.
Bagaimanapun, beliau berkata, penerangan mengenai kerjasama itu perlu diberikan kepada ahli Pas yang masih tidak bersetuju khususnya golongan veteran.
Sementara itu, perwakilan Selangor, Ahmad Ubaidillah Abdullah menegaskan Pas perlu bergerak proaktif untuk menangkis persepsi jahat musuh politik Pas yang mendendangkan kononnya kerjasama antara Pas-UMNO akan mengancam kelompok bukan Islam.
3. Enam ditahan bantu kes mahasiswa dibelasah depan restoran
Enam individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera di Sungai Isap, Kuantan, awal pagi semalam.
Suspek berusia 19 hingga 20 tahun itu ditahan pada hari yang sama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian itu, tiga pelajar sebuah institut pengajian tinggi termasuk dua beradik masing-masing berusia 19 dan 20 tahun menjadi mangsa apabila dipukul kumpulan terbabit dan dua daripada mereka cedera di muka serta beberapa anggota badan.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berhubung perempuan.
4. ‘Haziq boleh dihukum sebat’
Individu yang mengaku dengan rela hati melakukan dosa termasuk berzina sudah boleh dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang Syariah.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata jika si pelaku sendiri sudah membuat pengakuan dengan fikiran yang waras dan rela hati, sepatutnya hukuman mengikut undang-undang Syariah sudah boleh dilaksanakan.
Beliau berkata jenis hukuman adalah sebatan bagi yang bujang dan rejam kepada mereka yang telah berkahwin, tetapi dari segi undang-undang sivil perlu mempunyai hasil siasatan pihak berkuasa.
Tambah beliau lagi, jika individu terbabit secara terus menerus mengaku melakukan dosa itu, sememangnya sudah boleh dijatuhkan hukuman.
4. Anwar serah kepada pihak polis siasat penulis buku
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada polis untuk menyiasat ugutan yang diterima beliau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum.
Anwar berkata, laporan polis sudah dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap penulis berkenaan, yang dipercayai dibayar dan diupah untuk menghasilkan buku itu.
Sementara itu Johari, yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata beliau menerima manuskrip buku yang ditulis oleh Yahaya Ismail pada 10 Jun lalu dan berpendapat tindakan itu amat tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan.