Kes lori kebal: 6 JPJ didakwa atas 63 pertuduhan rasuah
Seramai lima anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Georgetown hari ini atas 63 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM73,600.
Dalam prosiding yang berlangsung lebih dua jam itu, kesemua mereka didakwa menerima rasuah berkenaan daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.
Kesemua pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 itu turut berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.
Bekas pengarah YBNT mengaku tak salah tipu pakej umrah
Bekas pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang sebelum ini dituduh atas 76 pertuduhan menipu urusan pakej umrah minggu lalu, didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Kali ini Mohd. Adam Mohd Ghazali, 31, didakwa satu pertuduhan yang sama dengan menipu seorang jurutera.
Mohd. Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.
Mengikut pertuduhan, Mohd Adam didakwa telah menipu Ahmad Shahir Yusoff@Abdul Manaf, 38, untuk membuat transaksi wang pendahuluan sebanyak RM6,000 ke dalam akuan Bank Muamalat (M) Berhad milik YBNT Umrah Travel yang diuruskan tertuduh.
Pada 16 Julai lalu, Mohd. Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 26 pertuduhan memperdaya mangsa, yang kebanyakannya guru, untuk mengerjakan umrah di bawah syarikat YBNT bagi sesi November hingga Disember 2016, yang sebenarnya tidak wujud.
Inkues Adib: Inkues kematian ditutup
Mahkamah Koroner Shah Alam menetapkan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim ditutup selepas berjalan selama tempoh 41 hari.
Koroner Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan daripada saksi-saksi inkues dan tidak akan memanggil mana-mana saksi lain.
Inkues kematian Muhammad Adib bermula 11 Februari lalu dengan 30 saksi dipanggil bagi memberikan keterangan.
Perbicaraan SRC Najib tangguh kerana peguam sakit
Perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan kerana peguam belanya, Harvinderjit Singh sakit.
Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan penangguhan perbicaraan hari ke-43 itu, namun berkata pembelaan harus disediakan esok oleh peguam lain untuk pemeriksaan balas bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.
Selain itu, katanya, pihak pendakwaan mesti sediakan saksi lain untuk membenarkan perbicaraan diteruskan.
Beliau juga memberitahu pihak pembelaan perlu mengemukakan sijil perubatan Harvinderjit esok.
Najib berdepan 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Messi didenda dan digantung
Akibat berbalah di atas padang, penyerang Argentina, Lionel Messi dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berikutan terlibat dalam insiden kad merah ketika menentang Chile bagi penentuan tempat ketiga Copa America 2019.
Messi digantung satu perlawanan selepas perbalahannya dengan Gary Medel yang turut dibuang padang ketika kemenangan 2-1 Argentina, awal bulan ini.
Dalam masa sama Messi turut didenda (RM6,178.78) tanpa boleh dirayu.
Hakim tunggal tribunal tatatertib berkenaan turut mengesahkan hukuman berkenaan adalah penggantungan automatik ke atas Messi dan turut menolak untuk menggenakkan penggantungan tambahan.
Sewaktu kempen Copa Amerika, Messi telah mencetuskan kontroversi apabila menuduh pengadil mengambil rasuah kerana melayangkan kad merah sewaktu insiden berkenaan.