Kerajaan akan buat pengumuman mengenai tol dalam masa terdekat
Kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata beliau, perkara itu baharu saha dibincangkan dalam kabinet mungkin sehari dua lagi akan diumumkan berkenaan perkara tersebut, katanya dalam ceramah umum sempena PRK Semenyih di Batu 26 Beranang malam semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, bagaimanapun tidak memperincikan mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai manifesto Pakatan Harapan, yang mana parti itu berjanji akan mengkaji semula perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya, berusaha mencari jalan mengurangkan kadar tol dan memansuhkan kutipan tol jika boleh, sekiranya mereka menang pilihan raya umum lepas.
Khairy nafi Pas tak bantu BN di PRK Semenyih
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan Pas tidak membantu BN dalam PRK DUN Semenyih.
Sebaliknya kata Kahiry, beliau difahamkan pemimpin tertinggi Pas akan turun dalam masa terdekat.
Katanya, apa yang boleh disimpulkan di Semenyih adalah kerjasama BN-Pas amat erat.
Kata Khairy, diperingkat akar umbi dan jentera parti semua berjalan seperti diharapkan seperti apa yang perlu di Cameron Highlands itu berterusan.
Masalah air di Lok Heng sejak 60 tahun selesai
Masalah gangguan bekalan air yang dialami tiga gugusan Lok Heng setiap kali musim kemarau saban tahun selesai selepas kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM500,000 untuk membina tiga telaga tiub air di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perkara itu merupakan khabar gembira tambahan pula diramalkan cuaca panas dan kemarau akan melanda sehingga Mei ini.
Kata beliau, bagi tujuan itu, pihaknya mengarahkan Badan Kawal Selai Air Negeri Johor (Bakaj) untuk melihat kesulitan dialami penduduk sejak sekian lama.
Ini kerana katanya, masalah tersebut sudah 60 tahun sejak kerajaan dahulu yang tidak selesai. Setiap kali hari raya, penduduk berdepan masalah ini dan terpaksa ke paya atau tumpang rumah saudara mara untuk mandi dan dapatkan air bersih.
FK8 PDRM sekadar pandu uji
Polis mengesahkan gambar yang didakwa kenderaan peronda terbaru model Honda Civic Type R sebenarnya adalah sekadar untuk dipandu uji.
Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md. Isa berkata, pihaknya memandu uji kenderaan tersebut untuk melihat kesesuaiannya bagi kegunaan pasukan keselamatan negara.
Kata beliau, syarikat pengeluar kenderaan tersebut yang menyerahkan kenderaan bagi tujuan penilaian teknikal dan diberikan tempoh selama tiga hingga enam bulan untuk menilai kemampuan teknikal kenderaan tersebut sebelum diserahkan semula kepada syarikat tanpa melibatkan sebarang kos.
Terdahulu, tular di laman sosial menunjukkan model Honda Civic Type R atau juga dikenali sebagai FK8 yang dikatakan merupakan aset terbaru milik PDRM.
Turut tular ialah motosikal jenis Benelli TRK 502 yang lengkap dengan logo polis dan turut dikatakan merupakan aset terbaru PDRM.
Indonesia bida temasya Olimpik 2032
Indonesia sah menghantar permohonan rasmi kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menganjurkan temasya Sukan Olimpik edisi 2032 di Jakarta selepas mendapat pujian ketika menjadi penganjur Sukan Asia 2018 tahun lalu.
Perkara tersebut didedahkan oleh duta negara republik itu di Switzerland, Muliaman Hadad yang menjadi wakil kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk menghantar surat permohonan rasmi kepada ibu pejabat IOC di Lausanne baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif IOC, Christophe Dubi mengakui tawaran Indonesia untuk menganjur Sukan Olimpik edisi 2032 sangat dialu-alukan selain ia sebagai petanda bahawa negara itu semakin pesat berkembang.
Sebagai rekod, selain Indonesia, Korea Selatan dan Korea Utara turut menghantar permohonan rasmi untuk menjadi penganjur bersama manakala India turut menyatakan minat yang sama.