Kenapa dulu tak suruh tukar Najib?
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan mengapa Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dulu tidak menggesa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur ketika Malaysia dilabel sebagai negara ‘kleptokrasi’.
Sebaliknya, Syed Saddiq berkata Tunku Ismail kini meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu digantikan, katanya menerusi laman twitternya.
Menteri Belia dan Sukan itu turut membandingkan tindakan Tunku Ismail meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan perdana menteri yang mahu memulihkan negara.
Katanya, kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang perdana menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta.
Tunku Ismail dipilih sebagai presiden FAM pada 25 Mac 2017 dan berikrar untuk memulihkan skuad bola sepak kebangsaan.
Bagaimanapun, pada 16 Mac 2018, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden FAM selepas gagal memperbaiki prestasi Harimau Malaya.
Mahkamah tolak permohonan Najib, pertuduhan tidak cacat
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan 7 pertuduhan berkait dengan SRC International Sdn Bhd atas alasan ia kabur dan menyukarkan beliau membuat pembelaan yang kukuh.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, perbicaraan telah berlangsung 9 hari dan 21 saksi pendakwa memberi keterangan dan diperiksa balas secara ekstensif.
Kata beliau sepanjang perbicaraan itu, pihaknya tidak menemui tanda tertuduh diselewengkan atau keliru selain menambah bahawa tidak ada cacat pada pertuduhan.
Beliau berkata, dakwaan Najib bahawa pertuduhan tidak jelas dan proses mahkamah disalah guna tidak disokong dengan bukti.
Najib berhadapan dengan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berhubung pemindahan RM42 juta ke akaun beliau daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Sesi Teh Tarik 4 Putera Mahkota: Lokman Adam akan dipanggil polis
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung isu penganjuran Sesi Teh Tarik 4 Putera Mahkota Bersama Rakyat yang tular sejak kelmarin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beberapa laporan polis telah diterima dan kertas siasatan berhubung isu berkenaan juga telah dibuka.
Terdahulu, Pejabat Raja Muda Selangor telah mengeluarkan kenyataan menafikan pembabitan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dengan program berkenaan yang dipromosikan sebagai ‘Santai Teh Tarik Bersama 4 Putera Mahkota’.
Turut menafikan penyertaan adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan sumber Istana Pahang berkata, Tengku Hassanal telah bertitah supaya namanya tidak digunakan oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran rasmi istana.
Proses dakwa Najib tak semudah kes saya: Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan proses pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes salah laku bukanlah semudah yang dilakukan kerajaan BN berhubung kes liwat yang melibatkan dirinya sebelum ini.
Anwar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menjunjung kedaulatan undang-undang, jadi disebabkan itu pendakwaan terhadap Najib memakan masa.
Katanya, mahkamah akan ikut semua undang-undang dan fakta, kalau dulu berjanji mahu menahan Najib, memang senang, tetapi nak laksananya susah. Inilah yang kita lakukan dan tak ada pilihan lain, tidak boleh ambil jalan singkat,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal anjuran PKR Cabang Kuala Langat,malam semalam.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, Pakatan Harapan tidak akan sesekali mengikut atau mewarisi amalan kerajaan BN sebelum ini yang menahan sesiapa yang melawan kerajaan.
Sri Lanka larang pakai purdah
Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena semalam mengumumkan larangan pemakaian purdah seminggu selepas serangan ganas yang meragut 253 nyawa di negara itu pada minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat di bawah perintah darurat yang diumumkan di negara itu pada minggu lalu.
Pejabat presiden dalam satu kenyataan memaklumkan larangan purdah atau niqab itu akan berkuat kuasa pada hari ini.
Katanya langkah itu diambil demi memastikan keselamatan negara. Tiada siapa perlu menutup muka mereka untuk menyukarkan proses kenal pasti identiti.
Penduduk Islam di negara itu hanya meliputi kira-kira 10 peratus daripada 21 juta populasi penduduk. Kebanyakan penduduk Islam mengamalkan prinsip liberal dan hanya segelintir mengenakan niqab.