1. Kempen boikot produk bukan Islam tak sihat – Anwar
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kempem memboikot barangan bukan Islam sebagai satu langkah yang tidak sihat.
Menurut Anwar, sebagai umat Islam, adalah penting untuk mengeluarkan produk yang bagus dan membantu memudahkan umat Islam tetapi dalam masa sama, boleh diterima oleh semua pihak.
Tambahnya lagi, konotasi perkauman yang digunakan tidak sihat kerana terdapat juga barangan yang diperlukan oleh Muslim yang dihasilkan oleh bukan muslim tetapi halal untuk digunakan.
Dalam masa yang sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan memboikot produk bukan Islam dan mengatakan ia adalah tindakan mereka yang cetek pemikiran.
2. Tulisan jawi dalam urusan agama Islam di Johor bermula tahun depan
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menggunakan tulisan jawi dalam segala urusan surat menyurat mereka pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata pelaksanaan berkuatkuasa 1 Januari itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.
Katanya, pelaksanaan ini termasuklah di peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.
Tosrin berkata untuk memartabatkan lagi tulisan jawi sebagai simbol agama Islam di negeri ini, satu jawatankuasa juga turut akan ditubuhkan.
3. Tiada masalah Zakir hadir program di Melaka: Muhyiddin
Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak melakukan kesalahan sekiranya menghadiri program keagamaan di Melaka kerana beliau bukannya menyampaikan ceramah di sana.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak akan sepenuhnya mengawal pergerakan pendakwah tersebut dan melarangnya menyertai mana-mana program.
Katanya, beliau dimaklumkan kehadiran Zakir Naik ke Melaka adalah untuk menyertai solat dan beliau tidak berucap di hadapan jemaah.
Tambahnya lagi, atas dasar berkenaan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah membenarkan Zakir Naik mengambil bahagian dalam program itu.
4. Isu agama, bangsa, institusi diraja sengaja disensasikan
Isu melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja sengaja disensasikan bertujuan menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu tersebut semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah gagal melaksanakan fungsinya dengan baik.
Menurutnya, agensi penguat kuasa memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat tidak benar.
Tambahnya lagi, kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat namun maklumat yang dikongsi perlulah disahkan kebenarannya.
5. Shafee dapat semula pasport buat sementara waktu
Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhammad Shafee Abdullah hari ini berjaya memperoleh semula pasport antarabangsanya buat sementara waktu dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mewakili anak guamnya di Australia.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan lisan Shafee semasa pengurusan kes di hadapan hakim itu pagi ini.
Pasport Shafee sebelum ini disimpan oleh mahkamah sebagai salah satu syarat ikat jamin apabila dia didakwa dengan tiga kesalahan jenayah, termasuk dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.