‘Kamu tuduh kami Taliban, di belakang kamu ada komunis’: Abdul hadi
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melabel pengkritik yang menyamakan partinya dengan Taliban sebagai disokong oleh komunis.
Menerusi sebuah pantun yang disiarkan di akaun facebook miliknya malam semalam, Abdul Hadi menulis: “Kamu tuduh kami Taliban, di belakang kamu ada Komunis.”
Pantun itu dipercayai menjawap kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno dan Pas membentuk kerajaan.
Susulan itu, pemimpin Umno dan PAS membidasnya dan mendakwa bahawa sepanjang tiga dekad pemerintahan Pas di Kelantan membuktikan bahawa golongan minoriti tidak pernah didiskriminasi.
Kerajaan timbang penurunan kadar tarif elektrik
Kerajaan menimbangkan untuk menurunkan kadar tarif elektrik di negara ini, susulan penurunan harga arang batu dan gas di pasaran antarabangsa.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sentiasa komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya media perancangan kerajaan sama ada akan menurunkan kadar tarif elektrik selari dengan kejatuhan harga arang batu dan gas asli di pasaran dunia.
Berdasarkan data terbaharu Tenaga Nasional Bhd (TNB), sebanyak 53 peratus daripada sumber elektrik di Malaysia adalah dijana daripada arang batu, 42 peratus daripada gas asli dan selebihnya berasaskan tenaga hidro dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Pas masih ‘tanda kertas’, belum boleh nilai markah PH
Pas masih menilai pentadbiran PH sebelum memutuskan untuk memberi ‘gred markah’ yang sesuai.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas kini sedang ‘menanda kertas’ kerana banyak perkara perlu dinilai sebelum memberi keputusan prestasi pentadbiran PH.
Kenyataan Takiyuddin menyusul selepas bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi gred D terhadap kerajaan PH selepas sepuluh bulan mentadbir negara.
Gred itu diberi berdasarkan gerak kerja PH yang dianggap lemah termasuk isu ekonomi yang belum diselesaikan.
Perkahwinan tidak didaftar punca isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan warganegara berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa sewaktu kelahiran berlaku.
Sehubungan itu katanya, beliau menyeru rakyat Malaysia yang berani berkahwin supaya berani mendaftar dan berani tanggung implikasi jika apa-apa berlaku kepada anak-anak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham Ahli Parlimen Beruas, mengenai inisiatif kerajaan berhubung kanak-kanak tanpa kewarganegaraan selepas ibu warga asing kanak-kanak tersebut tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dengan bapa yang merupakan warganegara Malaysia.
Mohd. Azis berkata, bagi kes ibu bukan warganegara dan lewat mendaftar perkahwinan, pasangan berkenaan boleh membuat permohonan kewarganegaraan anak mereka kepada JPN di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Pembantu Zakir Naik ditahan berkait kes pengubahan wang haram
Pihak berkuasa di India menahan “pembantu kepercayaan” Zakir Naik berhubung kes pengubahan wang haram terhadap penceramah kontroversi itu, lapor The Times of India.
Peniaga barang kemas Abdul Kadir Najmuddin ditahan oleh Direktorat Penguatkuasa (ED) – yang mengendalikan jenayah ekonomi di India – atas dakwaan “secara aktif menolong dan membantu Zakir Naik menggubah dana daripada sumber meragukan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE)”.
Direktorat Penguatkuasaan berkata, dana berkenaan bertujuan membiayai kegiatan penerbitan dan penyiaran “video yang menyebarkan kebencian kaum dan radikalisasi komuniti tertentu”.
Menurut The Times of India, Kadir juga merupakan pengarah syarikat Global Broadcasting Corporation FZE LLC yang memiliki saluran Peace TV Zakir Naik.