Kami ada bukti, Anwar hanya cakap berdasarkan khabar angin: Takiyuddin
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau mempunyai bukti dokumen bahawa Parti itu tidak membayar apa-apa kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.
Sebaliknya kata Takiyuddin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bercakap berdasarkan khabar angin dengan mendakwa sudah pun menyemak dengan mahkamah London.
Kata Takiyuddin, bagi menjelaskan dakwaan Pas membayar Rewcastle Brown RM1.4 juta, beliau akan mengadakan sidang akhbar khas.
Sementara itu, The Star melaporkan Rewcastle Brown tidak mahu mengulas apa-apa berkenaan dakwaan tersebut, sehingga Anwar menunjukkan bukti berkenaan perkara itu.
Pada 26 Februari lalu, Anwar pertama kali membangkitkan tentang bayaran RM1.4 juta itu apabila meminta Pas memberi penjelasan tentang perkara itu.
Papagomo tak mengaku aib, datangkan cedera terhadap Syed Saddiq
Blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan termasuk mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan pertama Papagomo yang merupakan Exco Pemuda UMNO itu didakwa telah mengaibkan kehormatan Syed Saddiq, dengan menyebut perkataan iaitu ‘ko bodoh’.
Bagi kesalahan itu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua, bapa lima anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mangsa sama dibahagian leher dan bahu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
‘Kenyataan melampau, Satim perlu mohon maaf’
Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman yang mengaitkan kematian ADUN Pakatan Harapan di Selangor sebagai amaran ALLAH disifatkan melampau dan di luar kebiasaan tata susila budaya Melayu serta akhlak dalam Islam.
Satim didakwa mengeluarkan kenyataan yang turut meminta supaya rakyat memilih parti yang tepat dalam ucapan ketika ceramah umum BN bagi PRK DUN Semenyih, semalam.
Adun Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni berkata, kenyataan Satim menggambarkan pemimpin UMNO semakin terdesak untuk memenangi hati rakyat dengan menggunakan kempen yang biadab dan kurang ajar.
Selepas PRU14, empat PRK diadakan di DUN Selangor selepas penyandangnya iaitu bekas Adun Sg Kandis, Shuhaimi Shafie, Adun Seri Setia, Dr Shaharudin, Adun Balakong, Eddie Ng dan Adun Semenyih, Bakhtiar meninggal dunia.
TH tanggung subsidi haji, termasuk kes rayuan: Mujahid
Tabung Haji (TH) akan menanggung semua subsidi jemaah haji muassasah kali pertama, termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.
Beliau berkata, keputusan lembaga pengarah TH itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019.
Dengan pengumuman terbaru itu, katanya kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta.
Sebelum ini Mujahid berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.
India guna bom buatan Israel serang Pakistan
Tentera udara India menggunakan bom buatan Israel pada serangan yang dilakukan ke atas jirannya, Pakistan berdasarkan laporan media tempatan.
Menurut laporan, lima buah jet pejuang Mirage dilengkapi peluru berpandu pintar, Spice 2000, buatan Israel melakukan serangan yang disifatkan New Delhi sebagai serangan terhadap kem latihan pengganas.
Peluru berpandu itu seberat 1,000 kilogram setiap satu dan beroperasi dengan koordinat pra Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Pakistan berkata tiada kemalangan jiwa berlaku pada serangan tersebut manakala New Delhi mendakwa serangan itu menyababkan ‘sebilangan besar’ militan terkorban.
Serangan udara tersebut dilakukan susulan pengeboman berani mati di wilayah pertikaian Kashmir pada 14 Februari lalu yang menyaksikan lebih 40 anggota tentera India terbunuh.