Kalah PRK, Anwar ingatkan PH peka isu rakyat, laksana janji PRU14
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya berusaha melaksanakan manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu serta menangani isu berkaitan agama dan kaum secara bijaksana, susulan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu lalu.
Katanya, pimpinan PKR dan PH juga perlu menjadikan kekalahan itu sebagai peringatan untuk lebih peka terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup.
Calon BN, Ramli yang meraih 12,038 undi menewaskan calon PH, M Manogaran yang mendapat 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing memperoleh 314 serta 276 undi.
Ramli turut mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.
Pas saran BN pilih anak tempatan jadi calon PRK Semenyih
Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih pada Mac nanti diharap akan menggunakan kaedah sama seperti di Cameron Highlands, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, BN yang diberi tanggungjawab itu juga disaran mempertaruhkan calon mempunyai ketokohan sendiri dan mestilah anak tempatan kerana diyakini 2 faktor itu mampu memberi kemenangan kepada BN dalam PRK itu.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Bersatu pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung dan dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala pengundian awal pada 26 Februari ini.
Imam miliki pistol, tanam di Sungai Pinang
Seorang pesara polis yang juga imam di Kampung Bukit Kadir, mengaku memiliki sepucuk pistol dan melepaskan tembakan semasa bertengkar dengan isterinya pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superinten Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek, Sulaiman Abdul Rahman, 61, menukar pengakuan setelah disoal siasat oleh anggota dan pegawai daripda D6A Bukit Aman pada Sabtu lalu.
Katanya, hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku menyimpan pistol revolver dan melepaskan tembakan semasa kejadian.
Selain memiliki pistol, imam tersebut turut menyimpan 90 butir peluru shortgun di rumahnya.
Suspek kini masih ditahan reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Padah merokok di tempat letak kereta, wanita dipenjara sebulan
Seorang wanita dipenjara sebulan di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam selepas gagal membayar denda bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok, di tempat letak kereta di sebuah pasar raya, dua tahun lalu.
Majistret Izzudin Mohd Shukri mengenakan hukuman itu selepas Nor Faezah Hamzah, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di kawasan dilarang merokok iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini pada jam 9.15 malam, 17 Mac 2017.
Berdasarkan fakta kes, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Saiful Azuny Che Ya dan Pembantu Kesihatan Awam Md Nasran Saffin dari Pejabat Kesihatan Kota Bharu ke pasar raya itu untuk menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Ketika rondaan dijalankan, tertuduh sedang menghisap rokok di tempat letak kereta pasar raya itu.
Tolak Israel, Malaysia hilang hak anjur acara renang dunia
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.
Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.
Presiden IPC, Andrew Parsons menjelaskan semua Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.
Beliau berkata, apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu, atas alasan politik, pihaknya sama sekali tiada pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.