1. Kad kredit najib kekurangan wang, Jho Low campur tangan
Mahkamah hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho campur tangan selepas Najib Razak mengadu kad kreditnya tidak mempunyai baki mencukupi untuk berbelanja di kedai fesyen terkemuka, Chanel di Hawaii.
Bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping berkata demikian pada hari ke-41 perbicaraan terhadap Najib melibatkan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perkara itu didedahkan kepada mahkamah apabila Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram bertanya kepada Yu mengenai komunikasi beliau dengan Low melalui Blackberry Messenger (BBM).
Dalam pada itu Sithambaram kemudian bertanya kepada Yu mengenai transaksi AS$130,625 di kedai fesyen di Honolulu, Hawaii pada 22 Dis 2014 dan Yu mengesahkan transaksi itu telah dicaj kepada kad platinum Visa Najib.
2. MB Selangor dakwa dalang pernah lalui zaman pahit 20 tahun lalu
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi bayangan yang beliau mengetahui siapa dalang kepada konspirasi video intim antara Muhammad Haziq Abdul Aziz dengan seorang lelaki mirip menteri kanan dalam Kabinet.
Amirudin yang diketahui ramai sebagai salah seorang pemimpin paling kuat di belakang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, dalang tersebut adalah mereka yang pernah melalui zaman pahit ketika isu sama timbul 20 tahun lalu.
Menurutnya, beliau tidak takut untuk membuat kenyataan demikian kerana berpendirian serta kesedarannya jelas bahawa politik kotor dan jijik perlu ditolak sepenuhnya.3. KKM mula siasat ‘Ghost Smoke’
Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), telah memulakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ di seluruh negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Semalam, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.4. Menteri mahu polis siasat pihak sabotaj loji air Selangor
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mahu pihak polis menyiasat tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor petang semalam hingga menyebabkan penutupan empat loji rawatan air.
Berang dengan pencemaran yang menjejaskan bekalan air mentah sehingga membebankan pengguna air di Selangor, katanya tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj.
Katanya beliau telah menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk membincangkan situasi terkini di samping berbincang dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dalam membuat siasatan berkenaan masalah ini.5. Rihana Oksana ucap terima kasih kepada orang ramai
Bekas ratu cantik Moscow, Rihana Oksana Gorbatenko membuat kemunculan semula di akaun Instagram miliknya sambil mengucapkan terima kasih kepada mesej-mesej sokongan yang diberikan orang ramai.
Rihana membuat hantaran terbaru itu selepas dua hari peguam Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V membuat pengesahan rasmi berkenaan perceraian talak tiga ke atas wanita dari Rusia itu.
Hantaran terbaru Rihana dilihat sudah berubah nada apabila lebih terarah kepada kata-kata semangat diterimanya seolah-olah dia maklum dengan perceraian itu walaupun cuba mempertahankannya sebelum ini.