Jerebu: Jokowi kesal kebakaran tak dicegah lebih awal
Presiden Indonesia Joko Widodo mengakui bahawa kebakaran hutan di Riau, Sumatera dapat dicegah lebih awal oleh pihak berkuasa republik itu sekiranya mereka dapat mengawal dan memadamkan sejak dari awal, katanya dalam kenyataan di Facebooknya, semalam.
Presiden itu yang juga dikenali sebagai Jokowi mempersoalkan sama ada sumber tenaga yang dimiliki gubernur (ketua menteri atau menteri besar) termasuk ketua daerah, datuk bandar, pegawai daerah dan ketua kampung tidak dilibatkan secara efektif dalam usaha menangani kebakaran Pada peringkat awal.
Dalam kiriman berasingan, Jokowi berkata sebanyak 5,600 anggota tambahan sudah tiba di Riau sejak semalam dan operasi water bombing (pengeboman air) dilakukan di lokasi kebakaran menggunakan 52 pesawat.
Sehubungan itu, Jokowi mengingatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran lahan gambut atau pun hutan dan menegaskan bahawa tindakan akan diambil tanpa mengira latar belakang pelakunya.
Jerebu: Dua pesawat berpatah balik
Dua penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berpatah balik, hari ini, berikutan jarak penglihatan terhad ekoran jerebu yang semakin teruk di Pulau Pinang.
Pengurus Kanan LTAPP Mohd Nadzim Hashim berkata, kedua-dua penerbangan itu masing-masing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (LTAK) di Medan, Indonesia.
Menurutnya, satu lagi penerbangan dari Singapura ke Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke LTAK sementara penerbangan dari Bangkok ke LTAPP terpaksa ditangguhkan.
Beruang, anaconda mati akibat kebakaran hutan di Riau
Kebakaran hutan di Indonesia bukan sahaja menyebabkan kemusnahan alam dan pencemaran udara malah turut mengancam hidupan liar.
Dalam insiden terbaharu, dua ekor beruang dilaporkan mati dalam kebakaran hutan di wilayah Riau.
Ketua Logistik, Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Daerah Indragilir Hilir, Riswanto berkata, bangkai beruang tersebut ditemui penduduk kampung di sebuah ladang nanas di Desa Bayas.
Riswanto berkata, anggotanya turut menemui bangkai seekor ular bersaiz gergasi semasa memadam kebakaran di lokasi sama beberapa hari lalu.
Adinda Sultan Kelantan lapor polis difitnah di laman Facebook
Adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra membuat laporan polis berkaitan satu fitnah yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman Facebook sejak beberapa hari yang lalu.
Difahamkan, kenyataan berunsur fitnah yang tersebar di laman Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) Version 0.2 itu mengatakan adinda Sultan Kelantan itu bukanlah puteri bongsu Sultan Ismail Petra bersama Tengku Anis Tengku Abdul Hamid malah pasangan diraja itu dikatakan hanya mempunyai tiga orang putera sahaja.
Bertindak atas fitnah yang bertujuan memalukan Tengku Amalin, sepupu baginda, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz bersama peguamnya, Majidah Muhamad membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini supaya siasatan dilakukan.
Rakaman dua lelaki bergaduh tular di Facebook
Satu rakaman video insiden pergaduhan melibatkan dua lelaki tular di media sosial sejak pagi hari ini.
Rakaman berdurasi 2 minit 9 saat itu dipercayai berlaku di Plaza Tol Sungai Penchala.
Rakaman menunjukkan kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5 seolah-olah menghalang pemanduan kereta di belakangnya.
Video dan status dimuat naik menerusi satu hantaran di sebuah laman Facebook itu sehingga kini mendapat lebih 4,000 tontonan dan menerima pelbagai tanda reaksi serta komen daripada pelayar Facebook.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan kejadian daripada polis.