1. Isu Zakir Naik: Pemimpin Pas doakan Anwar kekal bakal PM
Tidak puas hati dengan ramai pihak yang mensensasikan syarahan pendakwah Islam Dr Zakir Naik, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohamad Nor secara sinis berkata beliau “mendoakan” agar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai bakal perdana menteri.
Pemimpin PAS itu berkata demikian susulan kenyataan Anwar yang tidak bersetuju dengan pendekatan dakwah Zakir yang dilihat menyentuh perkauman di negara ini.
Terdahulu president PKR itu, tidak bersetuju dengan pendekatan pendakwah dari India, Dr Zakir Naik yang menyentuh kaum di negara ini.
Menurut Anwar, seseorang pendakwah seharusnya menggunakan pendekatan yang dapat menarik minat orang ramai terhadap Islam.
2. Zakir tidak dibenar ceramah di semua medium termasuk media sosial
Penceramah bebas Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk di media sosial, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.
Katanya, arahan telah dikeluarkan oleh pihak polis dalam melarang Zakir Naik memberi ceramah selepas isu di Kelantan baru-baru ini bagi melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan mengenai ceramah itu.
Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.
3. Suspek langgar Danial dituduh esok
Lelaki disyaki melanggar Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam kemalangan di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City, Kajang pada 10 Ogos lalu akan dituduh esok.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek berusia 40 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Kajang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tempoh reman suspek akan berakhir pada hari ini selepas disambung reman selama lima hari pada 17 Ogos lalu.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dengan suspek selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.
4. Kementerian nafi mySalam ‘skim cepat kaya’
Kementerian Kewangan menafikan dakwaan yang mengatakan skim mySalam sebagai skim cepat kaya yang hanya memberi keuntungan kepada syarikat insurans.
Dalam kenyataan media hari ini, kementerian itu berkata, skim perlindungan kesihatan berkenaan merupakan skim takaful yang tidak bermotif keuntungan.
Katanya, Ia ditawarkan oleh kerajaan untuk kumpulan B40 yang layak, iaitu seramai 3.8 juta individu.
Disamping, segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut dan faedah simpanan yang terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.
5. Lif PPR cepat rosak sebab kerap guna
Jangka hayat sesebuah lif lebih pendek sekiranya kemudahan berkenaan digunakan terlalu kerap misalnya di kawasan kediaman seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang umumnya mempunyai penghuni yang ramai.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Omar Mat Piah berkata, pihak pemilik perlu melantik syarikat penyelenggara yang kompeten untuk membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala.
Katanya, lif yang kerap digunakan perlu dinaik taraf bagi mengelakkan sebarang risiko dan masalah kepada pengguna. Disamping, program penyelenggaraan perlu dilaksanakan lebih kerap.