Isu jadi PM, Hadi ‘bahan’ Kit Siang
Pas menafikan dakwaan kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung laporan kononnya , parti itu pernah merayu sokongan DAP untuk melantik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.
Menafikan perkara itu, Abdul Hadi berkata, Pas tidak pernah mencalonkan diri untuk menjadi Perdana Menteri, atau menggelarkan diri sebagai Perdana Menteri menanti.
Dalam satu laporan semalam, Kit Siang mendakwa Abdul Hadi menerusi kepimpinan Pas bertemunya untuk membincangkan soal Perdana Menteri pada PRU13 lepas.
Veteran DAP itu mendakwa pemimpin Pas mahu berbincang mengenai calon Perdana Menteri gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak sesuai.
Najib hanya layak jadi badut media sosial: Rafizi
Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa majoriti rakyat Malaysia tidak pernah melupakan segala keterlibatan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal kewangan yang menyusahkan rakyat.
Menurutnya, meskipun Najib kini berbangga mendapat sambutan baik di media sosial, tetapi jika beliau ingat sambutan itu mencerminkan kecintaan rakyat kepada beliau, Najib sebenarnya salah besar.
Rafizi berkata, jika Najib menyimpan cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau menasihatkan Najib agar pendamkan sahaja kerana Najib hanya ada bakat menjadi badut media sosial seperti sekarang.
Menurutnya, rakyat tidak pernah lupa dengan keangkuhan, kemewahan dan penyelewengan yang berleluasa semasa Najib menjadi Perdana Menteri.
PRK Semenyih matangkan hubungan Pas, Umno
Pas Selangor yakin PRK Dun Semenyih bakal mematangkan lagi hubungan kerjasamanya dengan BN khususnya Umno demi merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, parti itu akan menggerakkan sepenuhnya jentera Pas sebagai komitmen bagi memenangkan calon Umno yang bertanding pada PRK Dun Semenyih.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan untuk memastikan 6,996 pengundi Pas pada PRU14 lalu bakal mengundi calon BN pada PRK Dun Semenyih.
KJ kritik kenyataan Guan Eng
Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengkritik kenyataan media Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mempersoalkan kemampuan kerajaan Pahang melaksanakan pembangunan dengan jumlah hutang tertinggi.
Menurutnya, kenyataan tersebut tidak profesional dan bermotifkan politik kerana PRK Cameron Highlands.
Menerusi kenyataan tersebut, Guan Eng berkata, Pahang mencatatkan sebanyak RM3.2 bilion hutang pada akhir 2018 dan belanjawan berdefisit setiap tahun dengan defisit terkumpul sebanyak negatif RM228 juta pada akhir 2017 lalu.
Mengulas perkara itu, Khairy mengingatkan Guan Eng yang ketika itu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa kerajaan BN ketika itu telah membantu menyelesaikan hutang RM655 juta yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan pusat.
Bekas pengurus kanan produk ditahan SPRM bantu kes terima suapan RM2 juta
Seorang bekas Pengurus Kanan Produk sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.
Menurut sumber, lelaki yang berusia 40 tahun itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati suspek telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.