- Hutang cecah RM800 bilion, syabas PH: Najib
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata hutang rasmi negara mencecah angka RM800 bilion hari ini.
Najib yang berkongsi perkara itu berkata pinjaman terbaharu kerajaan RM4 bilion pada Khamis lalu, menambah hutang rasmi negara naik ke RM800.8 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah BN.
Kata Najib, dalam setengah tahun sahaja ini, PH telah meminjam RM77.8 bilion – RM70.5 bilion dari sukuk tempatan dan RM7.3 bilion bon samurai, Jepun – tetapi hanya membayar balik RM17.7 bilion sahaja.
Justeru itu katanya tidak mustahil jika trend setengah tahun ini berterusan maka, kerajaan PH akan tambah lagi RM140 bilion kepada hutang negara untuk tahun 2019 sahaja.
- SPRM mohon kes rasuah Bung, Zizie dipindah ke Mahkamah Tinggi
Pihak pendakwaan memfailkan notis usul untuk memindahkan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad yang berdepan tuduhan rasuah RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) ke Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai ketika sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.
Menurut Allan Suman, notis usul telah difailkan pihaknya pada 18 Jun lepas supaya perbicaraan kes tersebut didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada masa sama, Allan Suman turut memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan supaya kes membabitkan pasangan itu dibicarakan bersama.
3. Pengundi 18 tahun: Tiada kelebihan buat PH atau BN, kata KJ
Pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dijangka tidak akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang muda di negara ini akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat parti mana yang akan memberi hala tuju terbaik kepada mereka dan negara.
Khairy menambah, pembangkang pada dasarnya bersetuju dengan pindaan tersebut namun, mencadangkan lebih baik kerajaan melakukan pindaan itu serentak dengan cadangan pembangkang.
4. Operasi besar-besaran tutup kilang haram di Pasir Gudang
Operasi besar-besaran untuk mengesan dan menutup semua kilang haram di Pasir Gudang, Johor akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk setempat untuk melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung operasi kilang haram berkenaan.
Katanya, persekitaran Pasir Gudang sangat mencabar disebabkan pembangunan yang tidak lestari dan kerajaan akan terus membuat yang terbaik termasuk menerima cadangan konstruktif daripada Ahli Parlimen setempat.
5. Belanda, Amerika Syarikat mara ke perlawanan akhir
Belanda menewaskan Sweden 1-0 dalam masa tambahan pada lewat Rabu di Stade de Lyon, Perancis untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Wanita FIFA 2019, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Pemain tengah Manchester United, Jackie Groenen, berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-99 dan memperoleh kemenangan bersejarah buat Belanda, yang pertama kali melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Wanita.
Belanda akan beraksi menentang Amerika Syarikat dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Lyon pada 7 Julai.