Hina Islam dan Nabi: Tiga lagi ditahan, seorang diburu
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkataTiga individu ditahan manakala seorang lagi diburu polis berhubung penghinaan ke atas agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Katanya, tangkapan pertama pemilik akaun Facebook bernama Bakakuk yang membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad. Suspek ditahan reman hingga Khamis ini dan polis menerima 15 laporan polis terhadap tindakannya itu.
Beliau berkata, tangkapan kedua lelaki di Bau, Sarawak semalam yang berusia 22 tahun pemilik akaun Facebook, Ayea Yea yang membuat komen serupa.
Mohamad Fuzi berkata, tangkapan ketiga pula dibuat terhadap pemilik akaun Facebook, Yazid Kong yang membuat komen jelik terhadap agama Islam
Sementara itu, seorang lagi lelaki yang menggunakan akaun Twitter, @alvinchow333 sedang diburu berhubung ciapan jelik terhadap Nabi Muhammad SAW.
Dana RM90 juta: Rameli, Zaidy, kerani Pas tiba di SPRM
Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa tiba di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung pemberian dana RM90 juta kepada parti itu dan pembayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Selain Mohd Rameli, bekas Exco Selangor, Dr Mohd Zaidy Abdul Talib yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Selayang
dan seorang kerani pejabat parti itu, Mohd Khoirul Anuar Mat Zuki juga tiba di Ibu Pejabat SPRM, lima minit kemudian.
Pada 24 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull mengesahkan tiada kemasukan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun Pas seperti yang didakwa sebelum ini.
Musa Aman berdepan 16 dakwaan pengubahan wang
Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman berdepan 16 pertuduhan pengubahan wang berjumlah lebih $30 juta dolar amerika syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 11 hingga 13 tahun lalu di Hong Kong dan Singapura.
Musa yang didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, boleh dipenjara antara 5 hingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub.
10 tahun jaga Khazanah tak pernah rugi: Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hairan kerana sepanjang tempoh 10 tahun menjadi Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, syarikat itu tidak pernah mengalami kerugian.
Malah katanya, nilai aset juga tidak pernah turun dan naik setiap tahun.
Kata beliau, dalam tempoh 10 tahun ini, nilai aset bersih Khazanah telah naik RM82.3 bilion (244 peratus) dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM116 bilion pada akhir 2017.
Bagaimanapun katanya, setelah PH ambil alih, nilai Khazanah terus jatuh RM25 bilion menjadi RM91 bilion. Banyak lagi aset Khazanah boleh jual,” sindirnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Hari ini, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam sidang media Ulasan Tahunan Khazanah 2019 berkata, syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.
Kematian pelajar di Labuan bukan sebab strok haba
Kematian seorang pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha ketika mengambil bahagian dalam acara larian pada temasya sukan sekolah itu baru-baru ini bukan disebabkan strok haba.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata, kematian Norsahfiza Jaratin pada 17 Februari lepas masih belum dipastikan.
Suhu persekitaran pulau semasa hari sukan itu dilaporkan pada 24 ke 31 darjah Celcius, iaitu di bawah 35. Suhu itu adalah normal dan tidak mungkin menyebabkan strok haba,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Ismuni membuat kenyataan itu untuk memberi penjelasan mengenai hantaran dan rakaman video yang tular di platform media sosial mengatakan kematian pelajar itu adalah disebabkan strok haba kerana cuaca panas pada masa ini.