1. Hanya munafik setuju Zakir Naik dihalau: Nik Abduh
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan hanya orang munafik dan orang Islam berdosa besar sahaja gembira serta bersetuju pendakwah prolifik, Dr Zakir Naik dihalau keluar dari negara ini.
Dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini, Nik Abduh menulis, tiada orang Islam di negara ini yang bersetuju Zakir dihalau keluar.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, setiap Muslim adalah bersaudara dan agama mengharamkan tindakan menzalimi serta membiarkan saudaranya dizalimi oleh sesiapa pun.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan rakan Kabinetnya supaya penceramah dari India, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India susulan kenyataan kontroversinya terhadap masyarakat India dan Cina.
2. DAP nekad ‘langgar’ Dr Mahathir
Pemimpin DAP dilihat semakin nekad untuk ‘melanggar’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beberapa menteri bertindak membangkitkan tiga isu hangat dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tiga perkara yang disuarakan itu melibatkan pengajaran tulisan khat dan jawi, isu Lynas serta desakan agar Malaysia menghantar pendakwah dari India, Dr Zakir Naik ke negara asalnya.
Dalam satu tulisan di portal HarakahDaily beliau mempersoalkan mampu atau tidak menteri-menteri DAP ini dalam mempengaruhi ahli-ahli Kabinet lain dalam menyokong agenda mereka.
Menurut Kamarul Zaman lagi, beliau percaya tindakan yang dilakukan pemimpin DAP dalam mesyuarat tertinggi kerajaan itu kerana bertujuan untuk mengubah hala tuju politik negara.
3. Pas bantah cadangan kuat kuasa ISA
Pas Pahang menentang cadangan penguatkuasaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) di negara ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas, Andansura Rabu berkata, akta tersebut disifatkan sebagai undang-undang ‘rimba’ yang tidak diberikan hak pembelaan kepada individu atau pihak yang telah ditangkap.
Beliau berkata, akta ini adalah undang-undang yang tidak diberikan hak untuk individu membela diri dan tidak perlulah wujud dengan akta yang tidak betul.
Semalam, Pengerusi Penaja dan Pengasas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mencadangkan agar ISA dikuatkuasakan semula bagi membendung isu ketegangan kaum yang dilihat menjejaskan keharmonian rakyat dan keselamatan negara.
4. Lelaki didakwa cedera, samun penghantar Grab Food
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan mencederakan seorang penghantar makanan Grab Food dan cuba mencuri motosikal milik lelaki itu minggu lepas.
Abu Bakar Subianto, 33 tahun, seorang subkontraktor bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M Bharat.
Mengikut pertuduhan pertama, dia bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22 tahun, pada bahagian muka dan badan menggunakan ‘fork lock’ .
Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana-mana daripada hukuman itu.
5. Nora Anne tidak dirogol, diculik
Polis mengesahkan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, tidak dilarikan atau diculik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, hasil bedah siasat juga menunjukkan mangsa tidak dirogol.
Sebaliknya menurutnya, kematian mangsa disebabkan kebocoran pada usus kerana tidak mendapat makanan dalam masa panjang.