1. Guna kapal layar mewah seludup 37 kg syabu ke Jakarta
Enam warga Malaysia ditahan disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.
Polis Indonesia menemui dadah jenis syabu seberat 37kg dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, pada 9.30 malam, 4 Jun lepas.
Menurut Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia, Krisno Siregar, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama.
Katanya, lima suspek rakyat Malaysia yang ditahan itu berasal dari Johor, manakala seorang lagi berasal dari Perak manakala, dadah berkenaan dipercayai berasal dari Myanmar.
2. ‘Saya lah individu bersama menteri itu’
Lelaki yang dikaitkan dengan video intim bersama seorang lagi lelaki didakwa sebagai menteri kabinet membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi tersebut.
Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.
Dalam video yang viral semalam, Haziq telah membuat pengangkuan bersumpah menyatakan bahawa dia adalah individu terbabit dan video tersebut diambil tanpa kebenarannya.
Menurut Haziq, 27 tahun, yang juga lepasan jurusan undang-undang berkata dia berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat menteri terbabit kerana menteri itu tidak layak menjadi seorang pemimpin.
3. Kampung Baru dilanda banjir kilat
Kanak-kanak dan warga emas antara yang diselamatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dalam kejadian banjir kilat Kampung Periuk, Kampung Baru petang semalam.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Rahmat Kamaruzaman berkata, seramai 50 mangsa melibatkan 15 buah rumah terjejas dalam kejadian jam 3 petang itu.
Menurutnya, bilik gerakan menerima panggilan kecemasan jam 3.13 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi bagi pemantauan dan penduduk dipindahkan ke Dewan Sultan Sulaiman yang jaraknya sepuluh meter dari lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan susulan paras air naik mendadak sehingga paras satu meter.
Bagaimanpun katanya, tiada mangsa tercedera atau dikejarkan ke hospital susulan kejadian itu.
4. Rompak bank guna avocado
Seorang lelaki berjaya melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah kira-kira AS$8,000 (RM33,226) dari dua bank dengan hanya ‘bersenjatakan’ buah avocado.
Lelaki berusia 47 tahun itu melakukan rompakan di sebuah bank di bandar Beersheba, Israel pada pertengahan Mei lalu dengan menggertak seorang pekerja bank di bahagian kaunter untuk menyerahkan wang.
Apabila pekerja tersebut enggan menurut arahan, dia mengeluarkan sebutir ‘bom tangan’ dan mengugut untuk meletupkan bank terbabit.
Hasil siasatan pihak polis membawa kepada penangkapan perompak terbabit dan mendapati ‘bom tangan’ yang digunakan ketika rompakan hanyalah buah avocado yang dicat hitam. –
5. Harimau Malaya terus meratah Timor Leste
Penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan hatrik ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 5-1, pada aksi kedua, Kelayakan Pusingan Pertama Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Selepas mengalahkan pasukan yang sama 7-1 dalam aksi pertama pada Jumaat lepas, skuad Harimau Malaya sekali lagi mempamerkan prestasi mengagumkan pada perlawanan timbal balik, dengan rekod agregat 12-2 ke atas pasukan di ranking ke-195 dunia itu.
Pasukan ke-168 dunia itu bermula dengan baik selepas Muhammad Shahrel menjaringkan gol hasil hantaran Muhammad Akhyar pada minit ke-11 dan tandukan pemain Perak itu, pada minit ke-17.
Setakat ini kejayaan Malaysia menumpaskan Timor Leste 12-2 secara agregat itu, ialah kemenangan terbesar dalam aksi kelayakan pusingan pertama musim ini.