Guan Eng bohong hutang negara?
Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbohong dan memberi jawapan yang mengelirukan berhubung hutang negara.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata Guan Eng pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, berkata hutang kerajaan ketika ini disebabkan pinjaman yang dibuat bagi melaksanakan projek pembangunan seperti Lebuh Raya Pan Borneo, MRT, LRT3 dan lain-lain projek pembangunan.
Kata Khairy, sedangkan sebelum ini beliau memberi gambaran 1MDB adalah punca utama hutang negara naik sehingga RM1 trilion.
Sebaliknya kata Khairy, hakikatnya, keadaan serta nilai hutang negara bukanlah semata-mata kerana 1MDB,” katanya menerusi Facebook.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan berkata hutang negara mencecah RM1.08 trilion atau 80.3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.
Bergelut dengan pelajar, Lokman Adam didakwa hari ini
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, akan didakwa di mahkamah,hari ini susulan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikatakan dikasari di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, baru-baru ini.
Lokman yang mengesahkan perkara itu melalui laman sosial Facebooknya berkata, beliau menerima surat pertuduhan, semalam, dan diminta hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, hari ini.
Beliau berkata, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim, dan dua lagi individu juga akan dituduh berhubung kes itu.
Media sebelum ini melaporkan, tercetus insiden tolak-menolak antara mahasiswa UM dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.
Rumah urut: Ketua Balai Polis Setapak antara lima didakwa rasuah
Ketua Balai Polis Setapak merupakan antara lima penjawat awam yang dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung serbuan ke atas rumah urut dalam ‘Op Kota Raya’ tahun lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Asisten Superintendan Sherman Salleh, 42; Lans Korperal Faizal Miza Zakariah, 35; anggota bomba Mohd. Fadzli Jamaludin, 48, dan dua penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairil Faezi Mohd. Aziz, 32; serta Qairul Redza Mohd. Hadzri, 35, tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 dan 15,000 dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 18 dan 23 April ini.
Brunei laksana hudud 3 April
Mulai minggu depan, Brunei akan mula menguatkuasakan hukuman sebat atau direjam hingga mati bagi beberapa kesalahan seksual, termasuk homoseks, zina dan rogol.
Sebelum ini, Sultan Brunei yang juga Perdana Menteri mengumumkan undang-undang syariah itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Dalam fasa pertama yang dilaksanakan pada Mei 2014, umat Islam yang melakukan kesalahan hamil luar nikah, tidak solat Jumaat dan mempromosikan kepercayaan lain selain Islam, boleh dikenakan denda atau penjara.
Sebelum ini, hukuman untuk kesalahan seks sejenis di Brunei ialah penjara sehingga 10 tahun.
Brunei menangguhkan pelaksanaan dua fasa terakhir berikutan bantahan masyarakat antarabangsa pada 2014 namun menurut pengasas pertubuhan hak asasi manusia The Brunei Project, Matthew Woolfe, negara itu mahu melaksanakan kedua-duanya mulai 3 April ini.
Nicol David tak jadi bersara
Selepas mengumumkan persaraannya Februari lepas, Ratu Skuasy Malaysia Datuk Nicol David hari ini mengumumkan beliau akan terus melibatkan diri dalam sukan yang dicintainya itu.
Menerusi satu kenytaan semalam, Nicol berkata beliau tidak mahu pergi begitu sahaja dan percaya beliau masih mempunyai sesuatu untuk dikongsi dan menyimpan sesuatu untuk memberitahu masyarakat apa yang skuasy telah berikan kepadanya.
Sehubungan itu katanya, beliau akan berkongsi perjalanan kerjayanya dalam beberapa bulan akan datang menerusi tiga video, iaitu ‘Power’, ‘Determination’ dan ‘Heart’,” kata atlet berusia 35 tahun.