Gantung tugas pengerusi masjid, surau anjur program parti politik: Sultan Nazrin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.
Menurut kenyataan media oleh Pejabat Sultan Perak semalam, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Abd Rahim Mohamad Nor, berkata, cadangan penggantungan tugas itu dibuat Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Mohd Yusof Husin.
Katanya, sementara penggantungan tugas itu, Sultan Nazrin menitahkan agar tanggungjawab pengerusi jawatankuasa masjid dan surau diserahkan kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10 (2), Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015.
Abdul Rahim berkata ceramah berkenaan berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang di sini pada 24 Mei serta program atas nama parti politik di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.
Boleh rakam gambar kenderaan masuk lorong kecemasan
Pengguna jalan raya boleh merakam gambar kenderaan yang dipandu di lorong kecemasan sepanjang Ops Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri ini dan menyalurkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata maklumat yang tepat dan lengkap termasuk nombor pendaftaran kenderaan serta lokasi perlu disertakan bagi memudahkan tindakan susulan diambil.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai tiada hak untuk mengambil tindakan sendiri dan perlu menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasat lanjut.
Loke berkata, sempena perayaan Aidilfitri ini, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan larangan lima hari terhadap kenderaan berat menggunakan jalan raya bermula pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Jun ini.
Suspek utama kes bunuh ketua jururawat didakwa hari ini
Lelaki Nigeria yang juga suspek utama kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin akan didakwa di Mahkamah Sepang, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pertuduhan terhadap lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Siti Kharina,40, yang hilang sejak 8 Mei lalu ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, dipercayai dibunuh dalam sebuah unit kondominium disewanya dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu.
Mayatnya ditemui pemilik rumah sewa berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu sebelum menghubungi polis.
Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.
Sesaat ‘microsleep’ boleh ragut nyawa
Bermula minggu depan, ramai perantau yang akan memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut berhari raya bersama keluarga.
Sebagai pemandu, mereka perlu memastikan mendapat rehat mental dan fizikal yang cukup, lebih-lebih lagi buat mereka yang bakal menghadapi perjalanan jarak jauh bagi mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’.
Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr S Ravih, berkata ‘microsleep’ terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.
Terbaru insiden kemalangan maut meragut nyawa Pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, baru-baru ini ada kaitan dengan ‘microsleep’ berikutan pemandu iaitu suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengakui mengantuk ketika memandu dari kediamannya di Tumpat menuju ke Pattani, Thailand.
Dr Ravih berkata, antara simptom seseorang itu mungkin bakal menjadi mangsa ‘microsleep’ ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba.
Seorang polis maut, 4 cedera dalam letupan bom di Songkhla
Seorang anggota polis maut, manakala empat lagi cedera, termasuk seorang wanita awam dalam satu kejadian letupan bom di Chana, Songkhla.
Kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan) itu berlaku, ketika pasukan polis sedang membuat pemeriksaan keselamatan di bahagian belakang Stesen Keretapi Chana.
Ketua Polis Bahagian ke-9 Left Jen. Pol. Ronnasin Phusara berkata bom buatan sendiri itu dipercayai ditanam di bawah tanah, diletupkan dan mencederakan anggota polis yang sedang bertugas
Beliau berkata semua laluan ke tempat kejadian kini tutup untuk siasatan lanjut.