1. Fikir kemampuan kewangan kerajaan, Felda: Zulkefli
Penangguhan kutipan hutang peneroka Felda boleh dicadangkan tetapi ia harus bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan dan Felda untuk melaksanakannya.
Aktivis Felda mewakili Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda (SGBF), Datuk Zulkefli Nordin berkata, beliau menyokong cadangan penangguhan berkenaan yang mampu memberi kelegaan kepada peneroka.
Zulkefli berkata, beliau mengesyorkan kepada peneroka yang berkemampuan agar meneruskan pembayaran. Namun bagi peneroka yang tidak mampu kerana memerlukan banyak belanja sempena hari raya beliau sokong untuk penangguhan pembayaran.
Zulkefli juga meminta kerajaan menyegerakan pembayaran duit raya sebelum Aidilfitri.
2. Tiada tumpahan minyak di Terowong Menora
Tiada sebarang kejadian tumpahan minyak di sekitar Terowong Menora, Ipoh seperti yang tular di media sosial semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, hasil rondaan sepanjang Op Selamat 15 tidak menemukan sebarang kesan tumpahan minyak seperti di dalam gambar yang tular.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut menafikan kejadian tumpahan minyak di sekitar laluan sebagaimana yang didakwa.
Menurut jurucakap LLM, pihaknya tidak menerima sebarang insiden tumpahan minyak di kawasan berkenaan semalam dan hari ini.
Tambahnya lagi, gambar yang tular dipercayai kejadian pada tahun 2017.
3. Henti segera agihan sumbangan zakat oleh wakil rakyat bukan Islam: Azdy
Agihan sumbangan zakat oleh ahli politik bukan Islam harus dihentikan segera dan insiden ini tidak sepatutnya berulang lagi pada masa akan datang.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad berkata, tindakan membenarkan ahli politik bukan Islam mencampuri urusan pengagihan sumbangan zakat ini adalah suatu tindakan yang menghina Islam dan umat Islam.
Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat di Pulau Pinang, tindakan Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberikan agihan sumbangan zakat kepada ADUN dan Ahli Parlimen dalam kalangan bukan Islam adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh umat Islam di negeri itu terhadap institusi pengurusan zakat.
4. Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama terkawal
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor lancar dan terkawal setakat jam 9 pagi tadi.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, aliran trafik menuju ke utara dan selatan masih lancar.
Namun katanya, aliran trafik dijangka meningkat pada sebelah petang.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur LPT 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat pagi tadi.
4. Malaysia tewaskan Nepal 2-0
Malaysia memenangi dua perlawanan menentang pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi selepas menundukkan Nepal 2-0 dalam perlawanan persahabatan Tahap 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Pada separuh masa pertama, Harimau Malaya akhirnya mendapat gol sulung hasil sepakan penalti Muhammad Safawi pada minit ke-50, selepas Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan pihak lawan.
Malaysia meneruskan asakan untuk menambah jaringan sebelum Shahrul menanduk masuk bola ke dalam gawang Nepal pada minit ke-82 dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk menentang Timor Leste dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA, Jumaat ini.