1- Dr Mahathir tegaskan Modi tidak minta Zakir diekstradisi
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada permintaan ekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik diminta oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Jelas beliau, perkara itu tidak ditimbulkan dalam pertemuan dengan pemimpin tersebut semasa Forum Ekonomi Timur (EEF) Ke-5 di Rusia baru-baru ini.
Sebelum ini media India melaporkan bahawa Modi meminta Dr Mahathir mengambil langkah untuk mengekstradisi pendakwah kelahiran India itu yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Dr Zakir tidak lagi dibenarkan untuk bercakap secara terbuka berikutan ucapan peribadinya yang termasuk mengatakan bahawa orang Cina harus dihantar kembali ke China dan menuduh rakyat Malaysia yang beragama Hindu menjadi lebih setia kepada Modi.
2-‘Hala tuju Piagam Muafakat Nasional masih samar’
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, Piagam Muafakat Nasional, iaitu perjanjian kerjasama politik yang dimeterai UMNO-Pas Sabtu lepas akan mewujudkan dilema memandangkan ia menitikberatkan isu-isu yang berkaitan dengan kaum, Raja dan Perlembagaan.
Katanya ianya mungkin berdepan dengan cabaran dalam meyakinkan sokongan pengundi muda, kelas pertengahan selain cabaran mendapatkan sokongan dari Sabah dan Sarawak dalam mengambil kira faktor agama, kaum dan kelas masyarakat
Perjanjian kerjasama politik yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional itu dimeterai oleh Parti Umno dan Pas sempena Himpunan Penyatuan Ummah, yang disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari Sabtu lepas.
3- IPU Sri Aman capai tahap bahaya kerana hampir dengan Kalimantan: JAS
Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 367 iaitu tahap bahaya hari ini berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan Kalimantan, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).
JAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 367 pada jam 10 pagi hari ni.
Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan terdapat 243 titik panas dikesan di Sumatera, 452 titik panas di Kalimantan, dan 21 titik panas di Malaysia iaitu Johor (tiga), Sabah (satu) dan Sarawak (17).
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam menunjukkan rantau selatan Asean secara amnya dalam keadaan kering, di mana titik panas di Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, Indonesia terus mengeluarkan asap jerebu sederhana sehingga tebal dan memberi kesan kepada pantai barat, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.
4- Bilangan pesakit terima rawatan akibat jerebu meningkat 30 peratus
Bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di seluruh negara meningkat antara 20 sehingga 30 peratus berikutan jerebu yang melanda negara.
Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata, kebanyakan pesakit dikesan mengalami alahan konjunktivitis atau radang pada mata.
Katanya, peratusan itu diperoleh menerusi rekod rawatan pesakit luar di kesemua 42 hospital di bawah Kementerian Kesihatan sejak berlaku jerebu.
5-Serangan dron: Iran jadi kambing hitam?
Kejadian serangan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi telah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) menuding jari menyalahkan Iran walaupun Teheran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu.
Tindakan menyalahkan Teheran dan menjadikannya sebagai kambing hitam adalah bagi menutup kegagalan Washington untuk melindungi sekutu mereka selain merendahkan kemampuan senjata pemberontak Houthi di Yemen yang mengaku mendalang serangan tersebut pada Sabtu lalu.
Jika pemberontak Yemen mampu menerbangkan dron pada jarak sejauh 1,000 kilometer ke wilayah Saudi, ia sememangnya menyebabkan malu besar kepada AS yang kononnya menjadi ‘pelindung’ kepada Riyadh.