Bung didakwa terima rasuah RM2.8 juta, isteri nafi bersubahat
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), empat tahun lalu.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Rozina Ayob.
Sementara itu, isterinya, Zizie Ezette A Samad yang turut dihadapkan di mahkamah yang sama atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad pada ketika itu bagi memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta, empat tahun lalu.
Bagaimanapun Zizie mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Bung Moktar adalah bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad yang dilantik memegang jawatan itu pada 2013 dan meletakkan jawatan pada 1 Jun 2018 selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
SPRM dalam satu kenyataan kelmarin, memaklumkan pasangan terbabit ditahan selepas hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan FELCRA Bhd.
SRC kemuka dua muka surat untuk pinjam RM3.95b duit KWAP
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd (SRC International) hanya mengemukakan surat permohonan dua muka surat bagi memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank, Amirul Imran Ahmat, berkata surat yang bertarikh 3 Jun 2011 dan ditandatangani oleh Pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil itu memohon pinjaman bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had dan surat itu juga dialamatkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Katanya, seperti kebiasaan, sebarang permohonan untuk pinjaman wang memerlukan banyak lagi dokumen tambahan namun dalam perkara itu, tiada dokumen yang diterima KWAP.
Sehubungan itu, Amirul Imran berkata, beliau menghantar satu e-mel kepada Nik Faisal Ariff bagi memohon dokumen berhubung permohonan pinjaman itu pada 29 Jun 2011.
Bagaimanapun, saksi itu berkata, pada 1 Julai 2011, beliau menerima e-mel daripada Nik Faisal Ariff menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat mengemukakan dokumen dipohon kerana maklumat itu memerlukan kebenaran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah dan Najib selaku Perdana Menteri.
Lelaki tumbuk wanita angkara signal ada lima rekod jenayah
Seorang lelaki mengamuk sehingga menumbuk dan menampar seorang pemandu wanita gara-gara tidak memberikan signal (isyarat) ketika masuk simpang tular di media sosial.
Kejadian tersebut berlaku di Jalan Datuk Keramat, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Suprintendan Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda Dash telah datang dari arah belakang kereta jenis Honda Civic dipandu wanita itu.
Suspek memaki dan mengeluarkan kata kesat kepada pengadu dengan menuduh wanita tersebut tidak menggunakan isyarat ketika masuk simpang.
Katanya, suspek bertindak agresif menumbuk kepala dan menampar muka pengadu ketika wanita tersebut keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan kereta.
Noor Azmi berkata, usaha mengesan suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kes khianat dipergiatkan.
Kerajaan mahu perkenal kerja waktu malam: Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memudahkan pekerja tempatan, terutama mereka yang terpaksa bekerja di tengah panas.
Katanya, ia juga sebagai langkah menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor yang kini bergantung kepada tenaga kerja asing.
Dr Mahathir berkata, bukan satu yang mustahil untuk dilaksanakan waktu kerja malam kerana zaman sekarang ada kemampuan dan bantuan daripada teknologi.
Beliau berkata, dengan waktu kerja malam, tidak timbul lagi isu pekerja berpanas dan kebergantungan kepada tenaga asing dapat dikurangkan.
Katanya, sekarang ada 7 juta pekerja asing yang mana mereka ini menghantar pendapatan ke negara asal. Dianggarkan RM60 bilion wang kita di hantar ke luar negara oleh pekerja asing ini setiap tahun.
Universiti Hamka bakal diwujudkan di Perlis
Perlis berbesar hati dan mengalu-alukan dengan hasrat pihak Universiti Muhammadiyah, Indonesia untuk menubuhkan Universiti Hamka di negeri itu.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang berkongsikan perkembangan gembira itu di status Facebooknya berharap agar hasrat tersebut dapat ditunaikan.
Katanya, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan memberikan kerjasama sebaiknya untuk merealisasikan impian penubuhan universiti itu di negeri itu.
Kata beliau, bagi tujuan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sudahpun memintanya mencari beberapa tapak yang sesuai untuk dicadangkan.