1-Waran tangkap baharu terhadap Zakir Naik
Mahkamah khas di India semalam mengeluarkan satu waran tangkap tanpa jaminan (NBW) yang baharu ke atas penceramah bebas warga India, Dr Zakir Naik.
Menerusi laporan NDTV.com, ia berhubung dakwaan bagi kes pengubahan wang pada 2016.
Waran berkenaan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Akta Pencegahan Pengubahan Wang (PMLA), PP Rajvaiya berikutan rayuan difailkan Direktorat Penguatkuasaan (ED) yang menyiasat kes tersebut.
2- Anwar jadi PM: Wawasan 2020 bakal tercapai, sindir Najib
Kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menjangka bakal menduduki kerusi Perdana Menteri sekitar Mei 2020 disambut sinis oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib menyifatkan agenda Anwar itu sebagai bakal merealisasikan wawasan 2020 yang digerakkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Wawasan 2020 bakal tercapai,” tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam berkata, beliau menjangkakan proses pengambil alihan jawatan Perdana Menteri daripada penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan direalisasikan sekitar Mei tahun depan.
3-Jerebu: IPU meningkat di Sarawak
Kebanyakan kawasan di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 12 tengah hari ini, sementara enam kawasan di Sarawak terus menyaksikan peningkatan dengan Mukah menjadi lokasi terbaru mencatatkan IPU sangat tidak sihat.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Mukah meningkat kepada 208 berbanding 197 pada jam 8 pagi tadi.
Bacaan IPU di Kuching dan Samarahan, Sarawak pula kekal dalam kategori sangat tidak sihat apabila masing-masing mencatat bacaan 270 dan 224. Turut mencatat IPU sangat tidak sihat di Sarawak ialah Sibu (245), Sarikei (237) dan Sri Aman (212).
4-Kes rasuah RM1 juta: Tengku Adnan mahu hakim tarik diri dengar kes
Perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dijadualkan hari ini ditangguhkan berikutan pihak pembelaan memfailkan notis usul supaya Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar kes itu.
Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memfailkan notis usul semalam iaitu 18 September selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat berikutan pada 17 September lepas ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, 71, menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta.
5- Zidane sugul Real tumbang 3-0
Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, cemas dengan corak persembahan pemainnya ketika menyaksikan juara 13 kali Piala Eropah itu diaibkan 3-0 oleh Paris St Germain (PSG).
Dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi.
Lebih malang, Real tenggelam di bahagian tengah dan gagal melepaskan walau satu cubaan tepat ke arah gawang lawan.