1. ‘Peluang Anwar jadi PM cerah’
Masa depan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 cerah kerana sudah ada persetujuan majlis Pakatan Harapan sebelum PRU14.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, dalam konteks politik negara sekarang, Anwar tiada pesaing atau nama lain kerana beliau dilihat paling layak mengambil alih kepimpinan selepas Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri.
2. Doktor pukul bekas isteri, mentua diarah jalani pemeriksaan psikiatri
Seorang doktor perubatan didakwa mencederakan bekas isteri serta bapa mentuanya sehingga tular di media sosial pada 4 September lalu, diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama sebulan.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail terhadap tertuduh, Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah ke atas dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di Shah Alam, hari ini.
3. Tindakan tegas agungkan kumpulan pengganas: KPN
Polis menegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan mengagungkan kumpulan pengganas di negara ini.
Baru-baru ini tular di media sosial rakaman video membabitkan seorang pemimpin negeri yang menghadiri satu program membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam di ibu negara selain beberapa keping gambar menunjukkan kumpulan individu berarak dengan bendera pertubuhan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, video tular di media sosial itu sudah lama berlaku.
4.Sebutan kes pengubahan wang haram Riza Aziz, 24 September ini
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 September untuk sebutan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan pihaknya masih belum dapat melengkapkan beberapa dokumen berhubung kes itu.
5. Hamilton bukan pengemar Instagram
Dalam usaha mengubah rutin hidupnya menjadi lebih positif, peneraju keseluruhan Formula One, Lewis Hamilton mengambil keputusan memadam senarai akaun Instagram yang diikutinya sebelum ini.
Juara dunia dari Britain itu berkata perubahan ketara dari segi kehidupan dapat dirasainya selepas berbuat demikian.
Juara lima kali dunia dari pasukan Mercedes itu kini mengakui lebih gemar melakukan aktiviti luar daripada perlumbaan F One dan tidak malu untuk berkongsi kisah sehariannya dengan aktiviti baru beliau iaitu muzik dan fesyen