1. Bukan bergaduh, cuma salah faham: Salahuddin
Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku hanyalah salah faham dalam beberapa perkara.
Menurutnya, menteri Kabinet terikat dengan etika di mana sebarang keputusan yang dibuat dalam mesyuarat akan dipersetujui.
Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.
2. Kes bunuh, bakar: Polis rakam keterangan keluarga, rakan
Polis telah merekod keterangan ahli keluarga serta rakan kepada dua mangsa yang maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, keterangan ini diambil untuk melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, Fadzil turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes terbabit.
Kelmarin, polis telah mengklasifikasikan semula kematian dua mangsa Norwahidah Abdul Hamid, 28, dan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dalam kebakaran di sebuah rumah teres sebagai kes bunuh.
3. Kes rasuah Najib: 421 dokumen diserah kepada peguam
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, 421 dokumen berkaitan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, diserahkan kepada pihak pembelaan untuk digunakan bagi tujuan perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Bagaimanapun Sri Ram, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan beberapa dokumen perbankan membabitkan 21 kes pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB yang dihadapi Najib.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Feb untuk pengurusan kes selanjutnya.
4. Tunai umrah, Isa Samad gagal dapatkan pasport
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad gagal dalam permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah, semasa pendengaran permohonan itu di Mahkamah Sesyen,hari ini.
Hakim, Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Mohd Isa untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi tujuan mengerjakan umrah dari 10 hingga 21 Februari.
Dalam penghakiman, Azura menegaskan walaupun Mohd Isa selaku pemohon tidak berisiko untuk melarikan diri tetapi dia tiada keperluan mendesak untuk menunaikan umrah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar berhujah mempersoalkan adakah permohonan itu satu keperluan memandangkan tertuduh telah dua kali menunaikan umrah sepanjang tahun lepas iaitu pada bulan Januari dan Mei.
5. Keluarga Diraja Johor kecewa, nafi khabar angin
Khabar angin di media sosial mengenai perkahwinan Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suaminya, Dennis Muhammad Abdullah kini berantakan adalah berniat jahat dan tidak benar.
Posting terbaharu di laman Facebook The Royal Johor memaklumkan keluarga Diraja Johor berasa kecewa terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin itu.
Bercakap kepada Royal Press Office, Tunku Tun Aminah menzahirkan rasa tidak senang terhadap khabar angin yang disiarkan di media sosial mengenai perkahwinannya.
Malah perasaan itu juga dizahirkan apabila khabar angin tersebut mengaitkan ‘urusan perniagaan’ yang didakwa dengan produk penjagaan kulit dan pelangsingan.