Bersatu ‘kutip sampah’ Umno, lemahkan sokongan PH di PRK Semenyih: Najib
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengkritik langkah Bersatu yang “mengutip sampah” apabila menerima bekas wakil rakyat Umno kelmarin.
Rafizi berkata tindakan tersebut bertentangan dengan amanah orang ramai yang memilih Pakatan Harapan dan memberi kesan buruk pada Pilihan Raya Kecil Semenyih.
Kata Rafizi, tindakan itu bukan melemahkan Umno, tetapi sebaliknya, tulisnya di laman twitter miliknya hari ini.
Kata beliau, tindakan mengutip sampah itu berlawanan dengan mandat rakyat pada pilihan raya ke-14 yang menolak Umno-BN.
Rafizi antara sejumlah pemimpin PKR dan DAP yang mengkritik tindakan Bersatu membawa masuk tujuh ahli parlimen Bebas, termasuk enam yang baru meninggalkan Umno November lalu.
Hadi kecam pemimpin miliki ijazah palsu, tidak guna menipu untuk berkuasa
Tidak menjadi masalah jika tiada ijazah tetapi “malang” sekali jika menipu kelayakan untuk kekal berkuasa, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kata Presiden Pas itu, penting bagi pemimpin mempunyai ijazah dan ilmu serta pengalaman, malah sangat baik bagi mereka yang ada kedua-duanya.
Tambahnya, terdapat ramai pemimpin dunia yang tidak memiliki ijazah tetapi mereka mempunyai kemahiran penting yang membolehkan mereka kekal berkuasa.
Tetapi sangat malang kalau dilantik kerana pandai menipu dan bohong, walaupun ada ijazah tarafnya laksana penjual ubat yang melariskan ubat kerana pandai bohong, bijak berauta dan putar alam.
Abdul Hadi dipercayai merujuk kontroversi ijazah palsu atau dakwaan tahap pendidikan yang melanda beberapa pemimpin politik, khususnya kerajaan Pakatan Harapan.
Pensyarah undang-undang, Azmi Sharom dilantik Timbalan Pengerusi SPR
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Madya Dr Azmi Sharom sebagai Timbalan Pengerusinya yang baharu.
Selain Azmi, turut dilantik ialah empat Ahli SPR iaitu Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Datuk Chin Phaik Yoong, Prof Madya Dr Faisal S Haziz dan Zoe Randhawa.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah.
Ehsanuddin didakwa lagi lima tuduhan terima benda berharga
Bekas Anggota Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid sekali lagi dihadapkan ke mahkamah, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini, atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.
Noor Ehsanuddin, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Tertuduh menghadapi empat pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya berjumlah RM640, RM3,400 dan RM901 serta penyelenggaraan kenderaan bernombor WVN 3936 miliknya bernilai RM1,303.
Noor Ehsanuddin didakwa menerima kesemuanya melalui cek daripada syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd yang mana ada hubungan dengan tugas rasminya.
Rosmah diberi masa 7 hari periksa barang kemas RM60 juta
Mahkamah Tinggi hari ini memberi tempoh tujuh hari kepada Datin Seri Rosmah Mansor untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 barang kemas yang bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta milikannya yang didakwa dirampas polis.
Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin ketika pengurusan kes di dalam kamar hakim dengan dihadiri peguam David Gurupatham mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalam di Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Gurupatham ketika ditemui pemberita berkata, pada peringkat ini, isteri bekas Perdana Menteri itu perlu memeriksa keberadaan barangan kemas yang dirampas dalam serbuan oleh pihak polis pada Mei tahun lalu.
Asrama terbakar, 41 pelajar tahfiz perempuan hilang tempat berlindung
Asrama Pusat Tahfiz Tarbiyatun Nisa yang menempatkan 41 pelajar perempuan di Kampung Marabahai di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Tiada yang cedera dalam kejadian jam 6.50 pagi itu apabila semua pelajar terbabit sempat keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 pagi, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera.Sementara itu, pengurus asrama, Aishah Abdul Halim, berkata antara yang menghuni asrama itu adalah anak yatim dan fakir miskin berusia tujuh hingga 26 tahun.